Syarikat kurier, J&T Express (J&T) memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tampil memberi penjelasan mengenai video mogok kakitangan yang tular hari ini. Menerusi surat terbuka J&T di laman sosial Facebook (FB) mereka, syarikat tersebut turut menjelaskan mengenai penangguhan, pemotongan gaji serta kecurian bungkusan kendalian mereka.
Pihak J&T menjelaskan pengagihan bungkusan secara ganas yang berlaku pada Khamis lalu disebabkan terdapat segelintir kakitangannya tidak memahami dengan jelas sistem pengagihan bonus dalam kalangan pegawai jabatan.
“Sebenarnya J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus dan Undang-Undang Perburuhan Malaysia.
“Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama satu tahun dan bonus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Disebabkan masalah itu, J&T memaklumkan, ada yang kurang jelas sistem pengagihan bonus, ia menyebabkan pengagihan bungkusan secara ganas pada Khamis lalu dan menghasut beberapa pekerja untuk membuat gangguan bersama dan menyebarkan video ke sosial media.
“Bagaimanapun, pengurusan negeri Perak segera menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku. Pada 5 Februari (Jumaat) lalu, pekerja kembali menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun serta memproses bungkusan pelanggan.
“Kami ingin menjelaskan bahawa J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja dan akan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, J&T menjelaskan pihaknya komited untuk pembangunan lokal, meningkatkan pampasan dan faedah pekerja dari semasa ke semasa, mempromosikan pembangunan ekonomi sosial dan industri e-dagang serta komited membangun sistem pampasan dan faedah lengkap untuk pekerja.
Dalam pada itu, J&T turut memberi maklum balas mengenai aduan warganet mengenai pekerjanya yang didakwa mencuri makanan dan minuman daripada bungkusan pelanggan.
“Disebabkan peningkatan pesat dalam jumlah bungkusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, J&T mengambil lebih banyak bungkusan daripada masyarakat.
“Dalam tempoh ini, syarikat mengupah lebih ramai pekerja sementara dan hanya memberikan latihan yang asas kepada pekerja sementara.
“Ini adalah kesalahan dalam pengurusan kami. Kami juga sudah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa serta menyelesaikan bungkusan yang hilang dengan cepat,” katanya.
Video yang berdurasi beberapa detik itu memperlihatkan para pekerja J&T membaling barang-barang ditempat pengumpulan selepas mempunyai masalah dengan pihak pengurusan syarikat tersebut.
Susulan daripada itu, para pekerja yang melakukan keganasan tempoh hari telah tampil memohon maaf diatas keterlanjuran yang mereka lakukan.
Video permohonan maaf mereka dimuat naik oleh pihak J&T Ekspress Perak sendiri di laman Facebook mereka sebentar tadi.
Dalam video tersebut mereka menjelaskan bahawa perkara tentang pekerja J&T mogok dan tentang komisen adalah tidak benar.
Selain itu, mereka juga meminta maaf kerana telah menjejaskan nama baik syarikat serta merosakkan barang-barang rakyat Malaysia seperti yang dilihat menerusi video tular sebelum ini.
Di akhir rakaman berkenaan, para pekerja berjanji akan menghantar barang pesanan pelanggan secepat yang mungkin.