Khaeryll Benjamin atau Benjy, anak lelaki seniwati Azean Irdawaty, telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memiliki dadah methamphetamin sebanyak 0.24 gram, menurut laporan BERNAMA. Namun, Benjy mengaku tidak bersalah.
Azean meluahkan rasa syukurnya kerana Benjy, 31, boleh diikat jamin dan yang lebih melegakan, tuduhan yang dihadapi adalah untuk memiliki, dan bukan seperti yang diheboh-hebohkan sebelum ini di dalam media, untuk mengedar dadah.
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, Khamis didakwa memiliki dadah jenis methamphetamin juga dikenali “syabu” di Mahkamah Majistret di sini.
Anak lelaki seniwati Azean Irdawaty itu, yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, mengaku tidak bersalah memiliki 0.24 gram dadah itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Benjy, yang berada dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang dan sempat tersenyum ke arah ibunya, yang berada di mahkamah sejak pagi.
Majistret Hafiza Saini membenarkan Benjy diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April untuk sebutan kes itu.
Benjy diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaima Mohd Noor.
Di luar mahkamah, Azean yang menjadi penjamin kepada anak lelaki tunggalnya itu, memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kerana Benjy tidak dikenakan “tuduhan sensasi” (mengedar dadah) seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Azean, yang membahasakan dirinya Kak Yan, berkata beliau lega kerana Benjy boleh bebas dengan ikat jamin dan akan dibicara kerana memiliki dan bukannya memproses dadah.
Ditanya mengenai laporan sebelum ini yang menggembar-gemburkan berita seolah-olah Benjy mengedar dadah, beliau berkata: “Kami bukan berdendam tapi tengok dululah (sama ada mengambil tindakan mahkamah atau tidak).”
Azean berkata beliau tidak dibenarkan oleh polis berjumpa dengan Benjy, dan baru semalam peguamnya dapat berjumpa dengan anaknya itu.
Yang turut hadir memberi sokongan moral kepada Benjy hari ini adalah adik perempuannya Elza Irdalyna dan pelakon Ellie Suriati. – Bernama