Pelakon Bella Dally selamat bernikah dan kahwin dengan lelaki pilihannya yang juga ahli perniagaan, Arif Izuddin Mohd Radzali, 34, dengan sekali lafaz, yang diadakan di Marina Putrajaya, jam 9.55 pagi tadi.
Bella, 28, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally dinikahkan jurunikah Wan Mohd Adlan Wan Salleh, Pendaftar Pernikahan, Ceraian dan Rujuk, Wilayah Persekutuan.

Pada majlis itu, Bella menerima mas kahwin RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang. Wang hantaran pula dirahsiakan.
“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar. Maka, bermula sudah fasa baharu dalam hidup. Walaupun ada yang cakap terlalu awal untuk kembali berumah tangga, bagi saya, inilah yang dikatakan jodoh.
“Seperti perkahwinan pertama dulu, saya tetap teruja dan tidak gementar. Malah, untuk majlis kali ini saya sudah tahu nak buat apa.
“Suami juga sangat teruja kerana ini yang pertama untuknya. Ramai rakannya ingin terbabit dalam majlis kami,”
– Bella Dally


Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu dimulakan dengan persembahan marhaban daripada kumpulan Nurul Iman, Klang.
Tutur hadir pada majlis itu adalah pelakon Elfira Loy dan Mira Filzah yang juga pembawa dulang hantaran bagi pihak perempuan.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 12 Januari lalu di Kota Kinabalu, Sabah.
Sebelumnya, Bella yang juga pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada September 2016.
Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 2 Mei 2018. Menerusi perkahwinan itu mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sumber: Harian Metro, IG: @orangputihkita @elfiraloy





