in , ,

Bella Astillah Dedah Ada Heroin Drama Jatuh Cinta Dengan Aliff Aziz

Bella Astillah mendedahkan ada pelakon wanita cuba untuk mendekati suaminya, pelakon Aliff Aziz.

Memberikan penjelasan mengenai hantaran di Instagram yang dimuat naik baru-baru ini yang menyindir wanita gemar ‘mencuba’ suami orang, Bella mendedahkan entri terbabit ditujukan untuk seorang aktres yang sedang bergandingan dengan Aliff dalam sebuah naskhah.

“Hantaran saya di Instagram itu adalah kerana saya risau kejadian lama berulang kembali. Sebagai isteri, saya ada perasaan trauma. Syukur, Aliff alami banyak perubahan selepas kami rujuk kembali.

“Hantaran itu saya tujukan kepasa seorang pelakon wanita. Selepas Aliff buat kemunculan semula, dia banyak bergandingan dengan heroin lain seperti Nad Zainal dan Intan Najuwa, ketika itu memang tak ada apa-apa pun.

“Cuma yang baru-baru ini, memang ada masalah. Jadi saya bagi amaran. Sudah tentu langkah pertama saya adalah bertanyakan suami terlebih dahulu. Tapi saya tengok hari-hari ada ‘missed call’ dan sebagainya yang saya rasa tidak perlu. ‘Missed call’ sampai tujuh, lapan kali.

“Saya tak tahu nombor telefon siapa. Saya bertanya mengenai nombor terbabit dari seorang rakan artis dan memang betul, itu nombor pelakon wanita tersebut. Saya sangat marah kerana saya sendiri pernah berlakon dengan suami orang.

“Saya bergandingan dengan Zamarul Hisham dalam Aku Tanpa Cintamu. Saya tak pernah berhubung dengan dia secara langsung, kecuali di set penggambarab. Jika ada apa-apa pun, semua WhatsApp atau panggilan telefon akan dilakukan menerusi isteri Zamarul, pelakon Diana Rafar. Tiada keperluan untuk saya hubungi dia.

“Jadi apabila sampai tujuh, lapan ‘missed call’, saya tak nampak sebab itu. Dia berikan mesej kepada saya. Dia minta maaf, dia katakan dia bodoh kerana dia telah tersuka dengan suami saya.

“Dia mesej di WhatsApp saya ‘non stop’, dia kata dia mahu jadi kawan saya. Dia sangat berani, sebab itu saya sampai ke tahap untuk membuat hantaran di Instagram. Kalau dia menjalani penggambaran dengan pelakon bujang, tak apa, pergilah, nak telefon hari-hari ke, nak keluar berdua ke, tak ada siapa akan marah,”

Sudah berbincang dengan Aliff terlebih dahulu, Bella kesal kerana pelakon wanita itu tetap berusaha untuk mendekati suaminya.

“Suami dah beri penjelasan kepada saya. Kita sudah berbincang secara matang. Tak macam dulu, sering bergaduh. Kalau orang cakap, kena marah suami dahulu, sudah tentu saya sudah memarahinya, tapi jika setiap hari dia nak mendekat, dia nak hubungi, dia nak cari, itu sudah ‘sesuatu’.

“Harapan saya, jika kita nak bekerja, kita kena betulkan niat. Kita mencari rezeki, kita nak kembangkan bakat kita, nak kongsi kebaikan. Jika ramai sangat orang bercakap tidak baik mengenai anda, mesti ada ‘sesuatu’. Saya harap selepas ini, bila kita tahu individu itu suami orang, kita kena berwaspada, jaga batas, biar orang hormat diri kita sebagai wanita.

“Begitulah saya bawa diri saya sebagai seorang wanita kerana saya tahu orang memerhatikan dan status saya sendiri sebagai isteri orang. Sama juga seperti Aliff, jadi saya harap tak ada lagi cerita yang tak baik,” katanya.

Bella ditemui XTRA usai persaingan minggu separuh akhir Famili Duo TV3 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Dalam pada itu, Bella dan sepupunya, Wani Kayrie berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Famili Duo bersama tiga pasangan lain.

Dihoskan oleh Janna Nick dan Sean Lee, tujuh pasangan selebriti popular yang mempunyai hubungan kekeluargaan merebut hadiah bernilai RM10,000 setiap minggu dan hadiah utama bernilai RM100,000 di pusingan akhir.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Famili Duo setiap Ahad, pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam di TV3.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AR RAHMAN

AR Rahman Tampil Dengan Konsert Memukau di Stadium Nasional Bukit Jalil

IMAGINUR

Sinopsis Filem IMAGINUR Lakonan Beto Kusyairy & Diana Danielle