Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba membawa tumpuan penonton berkongsi jalan cerita kisah dua pemuda yang berkawan baik yang mengimpikan hidup senang dan kaya raya tetapi pada masa sama kedua-dua mereka ini ada masalah untuk bangun subuh.
Telefilem diberi tajuk “Terlajak Subuh” ini juga unik kerana boleh dikatakan hampir seluruh drama ini menggunakan dialek Pahang. Malah lokasi penggambaran juga dilakukan di sekitar Kuantan dan Temerloh, Pahang.
Pelbagai telatah lucu dan pengajaran yang diselitkan di dalam drama mengisi slot Panggung RTM yang menemui penonton pada 1 Mei ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Berkonsepkan kisah kemasyarakatan dan kekeluargaan, drama arahan Jaja Ishak ini menampilkan gandingan pelakon utama Bell Ngasri dan Lan Shiro mengenai kehidupan dua gelandangan iaitu Zam dan Mat yang selalu berangan-jangan mahu kaya tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh.
Kehidupan mereka seharian juga asyik tidur selain gemar mengabaikan solat yang dituntut dalam Islam. Sehinggalah pada suatu hari kedua-duanya berjumpa dengan seorang lelaki mualaf ketika mereka berada di masjid.
Sejak itu lelaki tersebut banyak memberikan bimbingan kepada Zam dan Mat, misalnya nasihat agar mereka tidak meninggalkan solat Subuh. Adakah keduanya benar-benar insaf atau sekadar berpura-pura insaf? Ikuti kesudahannya di TV1.
Terlajak Subuh turut menampilkan pelakon lain seperti Zetty Rashid, dan Razak Ahmad.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.