in , ,

Beli Wiper, Menang Kereta! Lelaki Ini Bawa Pulang BYD Dolphin RM112,000

Rezeki Tak Disangka! Lelaki Ini Cuma Nak Naik Taraf Kereta, Tapi Balik-Balik Dapat Kereta Baru Terus. Macam Mana Dia Boleh Menang? Jom Ikuti Cerita Penuh Yang Pasti Buat Ramai Terinspirasi Nak Cuba Nasib Juga!

Kisah ini memang luar biasa dan buat ramai orang ternganga! Mana taknya, seorang pegawai korporat bernama Razlan Rahim yang pada mulanya hanya berniat nak menaik taraf keretanya dengan aksesori berkualiti, akhirnya pulang dengan sebuah kereta elektrik BYD Dolphin bernilai RM112,000 hasil daripada membeli wiper Trapo sahaja! Siapa sangka, beli wiper boleh bawa pulang kereta?

Hanya Dengan RM4,027, Dia Bawa Balik Hadiah Bernilai RM112,000!

Razlan pada awalnya membelanjakan sejumlah RM4,027.40 untuk membeli wiper dan pelbagai produk Trapo sebagai usaha untuk menjadikan keretanya lebih selesa dan moden. Namun, takdir menyebelahi dirinya apabila pembelian itu membuka ruang untuk menyertai satu pertandingan anjuran Trapo yang menawarkan hadiah lumayan.

Lebih menarik, Razlan berjaya meneka berat sebuah balang dengan tepat, sekaligus melayakkan dirinya untuk membawa pulang kereta elektrik BYD Dolphin serta beberapa produk Trapo yang bernilai keseluruhannya kira-kira RM112,000! Kemenangan ini ibarat mimpi jadi nyata buat Razlan yang mengakui sangat teruja dan hampir tak percaya dirinya adalah pemenang utama.

“Saya sangat teruja dan sebenarnya tak percaya saya adalah pemenangnya. Pertandingan ini bukan sahaja beri peluang untuk saya menang kereta baru, tapi juga beri pengalaman yang sangat bermakna. Terima kasih Trapo sebab hargai pelanggan macam kami,”

– Razlan
TRAPO

Pertandingan Unik: Teka Berat Balang Berisi Karpet Kereta

Proses pemilihan pemenang bukan calang-calang. Trapo melaksanakan satu pertandingan yang sangat unik dan mendebarkan. Peringkat pertama melibatkan cabutan nama secara telus dan berformula, di mana 10 finalis dipilih melalui sistem cabutan yang dikendalikan oleh pihak ketiga.

Finalis kemudiannya diundang untuk menyertai satu permainan istimewa – Meneka Berat Balang, di mana mereka perlu meneka berat sebenar balang berisi kepingan karpet kereta EVA Trapo. Pemenang ditentukan berdasarkan tekaan paling tepat, dan Razlan berjaya ‘membaca’ berat balang itu dengan penuh bijak, sekaligus menewaskan pesaing-pesaing lain.

Trapo Hargai Pelanggan Setia, Hadiahkan Kereta Sebagai Tanda Terima Kasih

Ketua Pegawai Eksekutif Trapo, Tzong Lee, menjelaskan bahawa pertandingan ini adalah inisiatif khas bagi menghargai pelanggan setia yang terus menyokong Trapo dari awal penubuhan hingga kini. Trapo mahu memberi kembali kepada komuniti pelanggan mereka dengan cara yang bermakna.

“Pertandingan ini adalah cara kami untuk berterima kasih kepada pelanggan kami yang sentiasa menyokong. Kami nak raikan kesetiaan mereka dengan hadiah yang luar biasa. Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen kami untuk terus menyediakan penyelesaian automotif berkualiti tinggi, sambil memperkukuh hubungan dengan pelanggan,” ujar Tzong Lee.

Trapo: Pengeluar Aksesori Kereta Buatan Tempatan Pertama Di Malaysia

Sebagai pengeluar aksesori kereta tempatan yang pertama di Malaysia, Trapo berbangga dengan pencapaian ini dan berhasrat untuk melaksanakan lebih banyak program dan inisiatif seumpama ini pada masa akan datang. Ia bukan sahaja menarik minat pelanggan baru, malah mampu mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan lama yang setia bersama jenama Trapo.

Tzong turut berkongsi bahawa pihaknya kini dalam perancangan untuk memperluaskan lagi inisiatif kreatif ini agar lebih ramai pelanggan berpeluang menikmati ganjaran menarik, sekali gus membuktikan bahawa kesetiaan terhadap jenama Trapo sememangnya berbaloi.

Apa Kata Budiey?

Budiey rasa ini satu inisiatif yang bijak dan kreatif daripada Trapo. Selain mempromosi produk mereka, mereka juga berjaya membina hubungan emosi dengan pelanggan. Apabila sebuah syarikat berani memberi hadiah sebesar sebuah kereta, ia menunjukkan bahawa mereka benar-benar menghargai pelanggan dan yakin dengan kekuatan jenama mereka sendiri.

Bagi Budiey, ini satu contoh bagaimana jenama tempatan boleh berinovasi dan berfikir di luar kotak dalam membina komuniti pengguna yang kuat. Trapo bukan sahaja menjual produk, tapi mencipta pengalaman yang bermakna untuk pelanggannya.

Jadi, kepada jenama lain di luar sana, mungkin boleh belajar dari pendekatan ini. Satu pertandingan yang mudah, tapi impaknya sangat besar. Dan kepada pembaca pula, siapa tahu, pembelian seterusnya mungkin membawa rezeki luar biasa seperti Razlan. Beli dengan bijak, sokong produk tempatan, dan mana tahu… rezeki kereta menanti anda juga!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Alamanda Putrajaya Raikan Anak Yatim Yayakem Sempena Syawal