Memang tanggungjawab penyanyi lagu Semakin itu sebagai isteri dan ibu wajar dicontohi. Sebelum dibawa ke hospital dan terus meninggalkan rumah buat selama-lamanya, Siti Sarah sempat masak buat keluarganya dan kongsi resipi Ketam Sweet & Sour Chinese Style. Inilah resipi terakhirnya dan mungkin air tangan terakhir buat anak-anak dan suami tercinta.
Resipi Ketam Sweet & Sour Chinese Style
Bahan-bahan:
Ketam, goreng terlebih dahulu
Bawang putih, kisar
Halia, kisar
Cili boh
Sos cili
Sos tomato
Sos tiram
Kicap cair
Semangkuk air
tepung jagung
1 sudu makan black vinegar
Gula dan garam secukup rasa
Cara Membuat;
Tumis bahan tumis sehingga naik bau.
Masukkan cili boh, tumis sehingga naik minyak.
Masukkan gula dan sos cili.
Masukkan sos tiram, kicap cair dan semangkuk air
Kemudian masukkan 1 sudu makan black vinegar dan sos tomato.
Masukkan garam dan ketam yang telah digoreng ke dalam kuali.
Masukkan tepung jagung dan putih telur.
Masukkkan kulit ketam dan biarkan masak seketika.
Di samping memasak untuk keluarga, Siti Sarah juga mengajar kita agar berdoa setiap kali memasak hidangan buat keluarga tercinta.
DOA SITI SARAH KETIKA MENYEDIAKAN RESIPI INI
“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG, YA ALLAH, YA TUHANKU, SIAPA SAHAJA YANG MAKAN MAKANAN INI. YA ALLAH, TENANGKAN HATI MEREKA, MURAHKANLAH REZEKI MEREKA, JADIKANLAH MEREKA HAMBAMU YANG TAAT YA ALLAH,” UCAPNYA.
Belasungkawa: Siti Sarah Raissuddin 15 September 1984 – 9 Ogos 2021
Nama besar bapanya, Raissuddin Hamzah sebagai penyanyi terkenal era 1980-an bukanlah tiket untuk Allahyarham Siti Sarah, 37, menempa nama dengan mudah dalam industri muzik tanah air.
Raissuddin juga tidak menggunakan jalan pintas menerusi hubungan baiknya dengan wartawan untuk menaikkan nama Siti Sarah, sebaliknya dia mendidik anak keduanya itu meniti laluan berliku menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan nyanyian.
Pertandingan demi pertandingan disertai, namun rezeki tidak memihak kepada Siti Sarah untuk bergelar juara dan berpuas hati sekadar menduduki tempat kedua atau ketiga.
Raissuddin akhirnya membawa Siti Sarah untuk ke peringkat saringan pertandingan nyanyian anjuran majalah hiburan popular URTV iaitu Bintang URTV 2001 peringkat Zon Timur yang berlangsung di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang.
Mereka lambat tiba dan menjadi peserta terakhir yang mendaftar. Raissuddin juga bertekad, sekiranya Siti Sarah gagal kali ini, lupakan saja niat menjadi penyanyi.
Namun, rezeki ternyata menyebelahi Siti Sarah apabila bergelar juara dan layak ke peringkat akhir pertandingan itu yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada September 2001 dan berjaya muncul juara.
Salah seorang juri, Ajai yang juga komposer popular tertarik dengan suara Siti Sarah dan menawarkannya menyertai syarikat rakaman NAR Records pada awal 2002.
Album sulungnya yang menggunakan namanya sebagai judul album dikeluarkan pada tahun yang sama dengan lagu Kesetiaan dikeluarkan sebagai single pertama.
Dari situ, bermulalah era kegemilangan Siti Sarah dalam nyanyian. Malah, pada satu ketika nama Siti Sarah pernah disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Seri Siti Nurhaliza berikutan kemantapan vokalnya selain memiliki pangkal nama Siti dan huruf S.
Selain itu, Siti Sarah juga seorang anak yang baik dan menjadi harapan keluarga.
Ketika bapanya bertanding dalam peringkat akhir Bintang RTM pada 1983, Allahyarham ibunya, Noor Aini Mohamad sedang mengandungkan Siti Sarah.
Hubungan dengan pihak media begitu akrab kerana Raissuddin mendidiknya begitu sempurna untuk berurusan dengan media.
Daripada gadis yang mulanya malu-malu dan merendah diri kerana menganggap tiada rupa berbanding penyanyi lain, dia mula membina kekuatan dan mencari imej yang sesuai buatnya.
Kegemilangannya terserlah kerana mempunyai tenaga pengurusan yang begitu efisyen.
Penyanyi yang dilahirkan pada 15 September 1984 ini turut berjaya menjadi peserta akhir untuk Bintang RTM 2001.
Kejayaan lain yang diraih ialah anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003 (AIM 2003).
Selain itu, Sarah juga berjaya menerima anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2003 (APM 2003).
Dia juga satu-satunya artis baru yang turut tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang dimenangi Siti Nurhaliza pada tahun terbabit.
Pembabitan lain Siti Sarah ialah menyertai pertandingan realiti musim kedua One In A Million 2008, pertandingan antarabangsa World Championship of Performance Arts (WCOPA) 2009, membintangi filem Man Sewel Datang KL (2011) yang dibintangi oleh suaminya, Shuib Sepahtu dan menyertai program realiti TV popular Gegar Vaganza 3 pada 2016.
Sarah bertemu jodoh dengan pelawak dan pelakon popular, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad pada 2011 dan memiliki empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang baru dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.
Awal April lalu, Sarah berkongsi khabar gembira apabila dia disahkan hamil anak keempat.
Siti Sarah turut memiliki seorang abang dan adik lelaki iaitu Ahmad Firdaus dan Ahmad Yazeed.