Selepas sekian lama berdiam diri, pelakon dan penyanyi popular, Datuk ND Lala akhirnya tampil bersuara mengenai kontroversi terpalit dirinya dan bekas isteri, Fauziah Sarman.
Menerusi perkongsian video di Instagram, ND Lala mengakui sudah bernikah dengan Siti Munirah dan mendakwa bekas isterinya itu mengugut serta meminta untuk diceraikan.
“Memang benar saya sudah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani. Memang benar bekas isteri saya tidak setuju pada poligami. Memang benar sudah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak, meminta saya menceraikannya.
“Memang benar ini bukan satu keputusan mudah selepas 34 tahun kami bernikah dan Allah anugerahkan kami empat cahaya mata. Saya menunaikan permintaan bekas isteri melafazkan cerai pada 2 Ogos lalu.
“Perkahwinan kami sudah pun berakhir. Tiada keperluan lagi untuk membicarakan mengenai perkahwinan kami kerana kami bukan lagi suami isteri,” katanya.
Dalam pada itu, ND Lala meminta agar tidak menggelar isterinya dengan gelaran penyondol kerana wanita itu tidak mengganggu rumah tangganya sebaliknya dia yang mendekati Siti Munirah.
“Saya nak minta jangan gelar Siti Munirah penyondol. Ini tidak benar kerana dia tak pernah sondol saya, mengurat saya. Tak pernah.
“Saya yang approach, pada awalnya dia tak nak saya. Akhirnya saya pergi minta restu daripada ayah Siti Munirah dan bila dia setuju maka kami pun bernikah. Jadi tidak benar, Siti Munirah sondol saya,” katanya.