in ,

Barisan Artis Sony Music Malaysia Meriahkan Syawal dengan Versi Segar SELAMAT HARI RAYA

Bahang kemeriahan Syawal tahun ini semakin dirasakan. Apalagi tahun lalu, sambutannya agak suram berikutan situasi pandemik Covid-19 yang merencat acara tradisi kunjung-mengunjung. Justeru, Sony Music Malaysia tampil menyemarakkan mood beraya tahun ini dengan versi segar ‘Selamat Hari Raya’.

Menampilkan penyanyi muda Aisha Retno, Bael0n, Harris Alif, Khodi, Liesl Mae, Qiff, Rasyad, Syabil, dan Vanessa Reynauld, semestinya aura dibawakan lagu ini cukup tersendiri. Lagu nyanyian asal biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma ini sememangnya tinggi nilai estetika serta tidak lapuk dek ditelan zaman.

Namun begitu, pembaharuan dibawakan lapan penyanyi terbabit membawa Selamat Hari Raya ke dimensi lebih moden. Berbekalkan paduan suara dengan warna berbeza, versi baharu ini adalah perwakilan kepada nuansa muzik generasi milenium terkini yang juga popular dengan terma millennial.

SELAMAT HARI RAYA

Dipertanggungjawabkan sebagai penerbit muzik dan komposer Euwyn Tan mengakui inspirasi susunan muzik yang digubahnya bersama Ross Farren cukup moden. Namun begitu, mereka semestinya sangat menekankan keaslian asal mood asalnya yang ceria dan bertepatan dengan suasana tradisional sambutan aidilfitri.

“Saya ingin mencipta susunan yang moden tetapi masih mengekalkan elemen tradisional dan ceria. Saya mengambil inspirasi daripada lagu Valerie oleh Amy Winehouse yang popular dan

juga senang untuk didendangkan. Muzik kumpulan acapella Pentatonix juga menjadi inspirasi penting memandangkan saya bekerja dengan ramai penyanyi,” katanya.

Semestinya menggabungkan lapan penyanyi itu menjadi tunjang penting betapa istimewanya karya ini. Euwyn tidak melihat aspek itu sebagai cabaran langsung sebaliknya bersyukur kerana ia menjadi kelebihan utama Selamat Hari Raya. Hakikatnya, dia seronok apabila keceriaan itu lebih terserlah dengan kepelbagaian suara mereka.

SELAMAT HARI RAYA

“Semua penyanyi yang terbabit mempunyai suara suara unik dan disebabkan itu, lebih mudah untuk saya membahagikan bahagian mereka. Ada yang lembut, lantang, bernada tinggi dan rendah dan juga warna suara yang berbeza-beza membuatkan susunan vokal lebih menarik,” katanya.

Apapun, semestinya proses pembikinannya juga berdepan cabaran tersendiri apalagi mengetengahkan lagu yang sudah terlalu ikonik dan mesra di telinga ramai. Maklum saja, gubahan terhadap karya sebegini perlukan ketelitian yang bijak. Euwyn berkata, dia perlu mencari titik pertembungan terbaik antara era tradisional dan moden untuk lagu ini.

“Cabaran untuk membuat susunan lagu ini adalah apabila kami cuba untuk membawa lagu tradisional yang dimainkan setiap tahun ke era lebih moden. Bagaimanapun, kami sedar sebenarnya itulah kekuatan lagu ini. Yang menjadi sedikit sukar pun hanyalah untuk gabungkan suara mereka agar lebih harmoni,” katanya.

SELAMAT HARI RAYA

Selain mahukan lagu ini menceriakan suasana syawal serta menghiburkan halwa telinga pendengar, Euwyn bangga apabila Selamat Hari Raya menampilkan penyanyi berbilang kaum. Elemen itu sahaja sudah cukup memberi mesej besar bahawa kemeriahan sambutan apa jua perayaan di Malaysia dikongsi tanpa mengira bangsa.

“Kami mahu orang ramai menyanyi dan meraikan lagu Selamat Hari Raya ini sebagaimana kami dapat menyatukan lapan artis dalam sebuah karya ini. Ia juga adalah lambang perpaduan negara kita yang berbilang bangsa dan agama tetapi masih boleh berkumpul untuk menyambut Hari Raya sama-sama,” katanya.

‘Selamat Hari Raya’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Syawal Ameng Lebih Bermakna Dengan Kemunculan AIDILFITRI YANG KU RINDU

Sungei Wang Plaza Collaborates With Bukit Bintang MP Service Centre For Complimentary Sanitisation