Alvin Chong ketika ditemui berkata, dia berasal dari keluarga susah dan sudah tiba masanya untuk berbakti kepada keluarga.
Alvin Chong mengakui masih belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta mahupun mengambil langkah berani dengan mendirikan rumah tangga.
Alvin, 29, berkata, dia tidak yakin dapat memberikan komitmen dari segi kewangan terutama ketika wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia.
Dalam pada itu, pelakon drama Awak Suka Saya Tak ini turut mengakui pendamik memberikan kesan kepada ahli keluarganya yang kehilangan pekerjaan.
Alvin berkata, dia dan seorang adiknya yang bertanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan keluarganya ketika ini.
“Keluarga saya sekarang tak ada kerja. Ibu saya merupakan seorang pelayan di sebuah pub dan ayah saya bekerja sebagai penjaja… disebabkan PKP dia terpaksa tutup kedai sampai sekarang.
“Adik bongsu pun tak ada kerja sekarang ni. Jadi yang tanggung keluarga adalah saya dan seorang lagi adik,”
Bercerita tentang alasannya enggan berumah tangga dalam masa terdekat, Alvin juga berkata, perceraian yang sering berlaku kepada orang sekelilingnya juga membuatkan dia takut untuk memikirkan tentang perkahwinan.
“Sekarang ni kalau tanya saya jika saya bersedia untuk bercinta dan melangkah ke fasa seterusnya, jawapan saya tak sebab saya tak tahu jika mental saya cukup kuat untuk berhadapan dengan keadaan semasa kalau-kalau ada gelombang kedua atau virus baru yang tersebar.
“Sekarang ni ramai yang bercerai, jadi saya nampak yang ianya sangat mudah untuk sesebuah perkahwinan itu berakhir. Kalau tak jumpa orang yang sesuai saya tak nak bazirkan masa dan duit sebab perkahwinan tu akan habiskan duit yang banyak,” jelasnya.
Ramai Anggap Alvin Chong Berasal dari Keluarga Senang, Rupanya Telahan Itu Salah.
“Selama ini semua orang sangka saya berasal dari keluarga senang kerana penampilan saya, telahan itu salah.
“Ayah saya penjaja kecil di Pulau Pinang manakala ibu bekerja di pub sebagai pelayan. Bila negara dilanda Covid-19 bapa terpaksa menutup gerai, ibu pula tidak bekerja kerana tempat kerjanya terpaksa ditutup.
“Sebab itu kalau ditanya tentang kahwin sekarang, saya rasa tidak sebab saya nak fokus kepada keluarga saya.
“Buat masa sekarang saya dan seorang lagi adik yang tanggung keluarga kami,”
– Alvin Chong
Alvin ditemui ketika Majlis Pelancaran Muzik Video Sayang Salmah di Gamuda Land, HighPark Suites, Petaling Jaya pada petang Rabu.
Bercakap mengenai single terbarunya itu, Alvin yang juga pengacara ini menaruh harapan tinggi terhadap lagu tersebut selain ingin membuka mata para peminat yang dirinya juga adalah seorang penyanyi.
“Sebelum ini saya pernah melancarkan beberapa lagu, tapi sedikit sedih sebab tidak ada yang meletup.
“Jadi, kali ini saya cuba genre lain iaitu dangdut dan harap lagu ini dapat buka mata ramai bahawa saya juga adalah penyanyi,”
– Alvin Chong
Muzik video rasmi Sayangku Salmah yang bakal dilancarkan pada 28 Ogos ini di saluran YouTube AlvinChongVEVO turut dipersembahkan dalam bentuk travelog sebanyak tiga episod.
Ia adalah inisiatif Alvin dan pasukan dalam memaparkan lokasi menarik yang terdapat dalam MV itu yang mana bakal ditayangkan di platform ourdaily.co bermula 7 September bagi episod pertama, 14 September (episod kedua) dan 21 September (episod ketiga).
Untuk makluman, muzik video rasmi Sayangku Salmah dan siri travelog ini adalah sebuah projek perintis di antara AirAsia dan Universal Music Malaysia di bawah penerbitan REDCARPET.
Sebelum pelancaran lagu dan MV itu, Alvin terlebih dahulu menyajikan peminat dengan video TikTok lagu Sayangku Salmah yang kini sudah mencecah lebih 20 juta tontonan di platform berkenaan.
Sumber: Astro Gempak