in

Bapa Nadiya Nissa Meninggal Dunia Ketika Ibadah Umrah di Madinah 

Bapa pelakon Nadiya Nisaa, iaitu Kamaruddin Murat, 70, meninggal dunia di King Salman Abdulaziz Medical City, Madinah, semalam, ketika mengerjakan ibadat umrah.

Nadiya berkata, bapanya yang juga Pengarah Urusan Terminex Pest Control Sdn Bhd, dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Namun, Nadiya masih menunggu keputusan rasmi dari hospital berkenaan.

“Sekarang keluarga saya yang berada di Madinah sedang bantu untuk menguruskan pengebumian arwah ayah di sana. Saya sedang menunggu maklum balas mereka.

“Solat jenazah untuk arwah ayah sudah diselesaikan pagi tadi (waktu Malaysia), cuma mereka ketika ini, menunggu masa untuk diteruskan dengan proses pengebumian.

“Perkara ini berlaku sangat pantas, jadi kami sekeluarga akan adakan majlis tahlil di Malaysia terlebih dahulu sebelum berangkat ke Madinah untuk menziarahi pusara arwah ayah,”

Bapa Nadiya Nissa Meninggal Dunia Ketika Ibadah Umrah di Madinah

Nadiya reda dengan apa sahaja ketentuan Yang Maha Esa biarpun dia dan keluarga sebelum ini berat hati membenarkan arwah mengerjakan umrah dalam keadaan sakit.

“Ayah memang ada sakit dan hajat dia untuk mengerjakan umrah ketika ini sementara tubuh badannya masih kuat.

“Kami sekeluarga memang berat hati untuk benarkan ayah pergi. Tetapi kami tetap reda dengan apa sahaja ketentuan Allah.

“Ayah berangkat Isnin lalu kerana berhajat untuk menjalani ibadah dalam 10 malam terakhir Ramadan termasuk menyambut Aidilftiri di sana,” katanya.

Bapa Nadiya Nissa Meninggal Dunia Ketika Ibadah Umrah di Madinah

Pelakon drama Jaga Aku Selamanya itu berharap orang ramai dapat memanjatkan doa kepada arwah bapanya.

“Saya harap peminat, sahabat dan ahli keluarga yang lain dapat mendoakan arwah ayah saya.

“Semoga arwah dimasukkan dalam golongan orang yang disayangi Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh,” katanya.

Sementara itu, kakak Nadiya iaitu Min Luna menerusi hantaran di Instagram (IG), memaklumkan kenduri tahlil untuk arwah bapa mereka akan diadakan di Masjid Bandar Baharu, Kedah selepas solat Maghrib, hari ini.

Terdahulu, Nadiya memaklumkan menerusi IG, ayahnya, Kamaruddin dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Madinah berikutan jangkitan paru-paru ketika mengerjakan umrah.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rebut HONOR Magic5 Pro Dengan Nilai Terbaik Pelan Pascabayar Telco!

Boy Iman Nafi Menipu Penganjuran Festival Beli-Belah Hooray X Fest Raya