BARU-BARU ini bapa kepada aktres, Elfira iaitu Ahmad Sabri Ariffin meminta penyanyi, Sufian Suhaimi berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu putus tunang bagi menjaga hati semua pihak.
Setelah hal itu menjadi viral dan tumpuan ramai, Sufian akhirnya tampil memberi kenyataan bagi memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Memetik beberapa sumber, Sufian berkata dia langsung tiada niat untuk menjaja kisah putus tunang tersebut sebaliknya hanya menjawab pertanyaan yang diajukan oleh pihak media.
“Bukan Jaja Cerita, Hanya Jawab Soalan Media” – Sufian Suhaimi
Katanya, seboleh-bolehnya dia enggan mengulas mahupun memanjangkan isu tersebut memandangkan kedua-dua belah pihak sudah menemui jalan penyelesaian berhubung perkara itu.
“Saya memang tiada niat nak bercerita tentang kes putus tunang ini, saya hanya menjawab persoalan yang diajukan oleh media.
“Sebolehnya saya tidak mahu lagi bercerita tentang perkara ini kerana ia sudah berakhir. Jadi, selepas ini saya mohon kepada rakan media dan semuanya tidak bertanya lagi tentang isu ini,” kata Sufian dipetik mStar Online.
Dalam pada itu, Sufian juga menafikan ‘menjaja’ kisah putus tunang bagi meraih simpati dalammempromosi single terbarunya berjudul Di matamu.
Sebaliknya memberitahu, lagu tersebut telah dicipta sejak setahun lalu dan hanya kebetulan kisah yang disampaikan berkait dengan perjalanan hidupnya.
“Single baharu ini terhasil selepas saya ambil kisah yang terjadi kepada kawan-kawan. Semua ini bukan sekadar meraih publisiti daripada kisah putus tunang,” katanya dipetik BH Online.
Di samping itu, Sufian turut meluahkan bersyukur kerana dikelilingi oleh insan yang sering menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada dirinya.
“Saya bertuah kerana dikelilingi mereka yang positif misalnya keluarga, rakan, pihak media dan peminat yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat serta dorongan.
“Keadaan itu secara tidak langsung menjadi saya lebih tenang dan senang untuk bertemu dengan orang ramai sekaligus dapat meneruskan kerja seperti biasa,” luah Sufian.
Sementara itu, Sufian kini mengakui enggan memikirkan soal cinta sebaliknya ingin fokus dengan kerjaya sahaja lantaran dia menyifatkan tahun 2018 merupakan tahun yang sibuk buat dirinya.