Bapa kepada penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, Datuk Amdan Mat Din, 62, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang Puteri, Ampang pada jam 1.10 pagi tadi kerana angin ahmar.
Khabar menyedihkan itu dikongsi penyanyi lagu Sampai Ke Hari Tua itu melalui Twitter dan entri Instagram (IG) Story, kira-kira jam 2 pagi tadi.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Dukacita dimaklumkan ayah saya, Datuk Amdan Mat Din kembali ke rahmatullah pada jam 1.10 pagi, 9 Januari bersamaan 3 Jamadil Awwal 1440,”
– Aizat Amdan
Sejak akhir 2017, Allahyarham Amdan yang menjadi pendorong kuat Aizat di arena muzik, diserang angin ahmar pada bahagian otak kiri.
Serangan itu mengakibatkan tubuh sebelah kanannya lumpuh.
Difahamkan, sebelum itu, arwah pernah berhadapan serangan angin ahmar sebanyak tiga kali. Namun, kejadian keempat adalah yang paling teruk.
Dalam perkongsian itu, Aizat memberitahu, jenazah ayahnya akan dibawa ke kediaman keluarga di Taman Ampang Utama, Ampang hingga jam 11 pagi, sebelum urusan pengebumian di Masjid Kampung Melayu Ampang, selepas Zohor.