Jenama hiburan terkemuka negara, Rocketfuel Entertainment dalam sebuah kerjasama bersepadunya dengan syarikat pengurusan artis Korea Selatan terkenal, C9 Entertainment dengan bangganya membawakan band K-pop yang kian popular dan sedang meningkat naik iaitu EPEX dalam sebuah konsert perdana penuh bertenaga lagi mengasyikkan ‘EPEX 1st Concert (Eight Apex) in Kuala Lumpur 2023’ bertempat di dewan konsert serba canggih, ZEPP Kuala Lumpur pada 6 Januari 2023, jam 8:00 malam nanti.
“Dalam usaha Rocketfuel Entertainment memperkenalkan rangka terbaharunya sejajar dengan tahun kesepuluh penubuhannya, kami telah bawakan hiburan berbentuk fizikal seperti konsert oleh artis-artis dalam dalam negara seperti ‘An Evening with Hael Hussaini, ‘Mimpi Showcase’ dan terbaharu ‘A Night with Ara Johari’, dan langkah seterusnya adalah membawakan artis antarabangsa pula ke negara kita.
Menurut Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, “Sebagai permulaan, band K-pop EPEX dipilih menghiasi diari tahun baharu pada 2023 nanti, mereka dipilih kerana potensi dalam bidang muzik yang dimiliki selain muda dan penuh berbakat serta dikatakan menjadi ‘the-next-big-thing’ di persada muzik K-pop,”
EPEX yang dahulunya dikenali sebagai ‘C9ROOKIES’ terdiri dari 8 anak muda berbakat luar biasa, iaitu Wish, Keum, MU, A-Min, Baekseung, Ayden, Yewang dan juga Jeff.
EPEX merupakan singkatan ‘Eight Apex’ yang bermaksud pengumpulan 8 anak muda yang melangkaui 8 lapisan ‘apex’ yang berbeza membentuk sebuah kumpulan yang lengkap dan dinamik.
Album EP pertama mereka berjudul ‘BIPOLAR Pt. 1’ yang dilancarkan pada 8 Jun 2021 telah berjaya melonjakkan nama mereka sekaligus menjadikan mereka salah satu band K-pop yang dikenali.
Pada tahun ini, EPEX telah memenangi anugerah ‘The Male Idol in The Rise’ di Hallyu Influencer Grand Prize Awards dan juga anugerah ‘Rookie of The Year’ di Seoul Music Awards serta beberapa anugerah yang lain.
Menurut Encik Feros Sayna lagi, “Rocketfuel Entertainment ingin menjadi peneraju dalam mempersembahkan hiburan dalam bentuk fizikal seperti showcase, mini konsert dan juga konsert berskala besar.
“Dan rata-rata pengunjung yang hadir pada acara muzik kami sebelum ini menyatakan mereka tidak puas mendengar dan mahu berhibur lagi, jadi kami mengambil langkah berani dengan membawakan artis dari luar bagi memenuhi selera pendengar masa kini.
Tempoh perancangan konsert ‘EPEX 1st Concert (Eight Apex) in Kuala Lumpur 2023’ telah pun bermula pada Jun lalu dan penjualan tiket dijangka berlangsung pada pertengahan Oktober ini.
“Kami akan mengumumkan tarikh penjualan tiket tidak lama lagi jadi bakal pembeli boleh bersedia untuk membeli pada masa yang awal untuk mengelakkan kehabisan tiket nanti.
“Pembeli tiket bakal dihiburkan dengan persembahan yang memukau selama 2 jam tanpa henti dan pastinya ada kejutan yang bakal dibuat, oleh itu rugi bagi sesiapa yang terlepas peluang keemasan ini.
“Sebagai tambahan, ini merupakan konsert pertama seumpamanya oleh EPEX dan mereka tidak pernah membuat konsert di mana-mana lokasi bahkan di negara mereka sendiri, dan pastinya ini merupakan momen yang wajib ditonton oleh kesemua peminat K-pop terutamanya di Malaysia,” kata Encik Feros Sayna.
Tiket-tiket yang dijual berharga pada kategori ROCKSTAR (RM488), ROCKZONE (RM388) dan juga CAT 1 (RM288).
Tiket akan mula dijual pada hari Jumaat, 18 November 2022 bermula pada jam 12 tengahari di www.ticketcharge.com.my. Peminat boleh melayari TicketCharge untuk info.
Dapatkan informasi terkini berkenaan konsert ini di laman media sosial Rocketfuel Entertainment.