Pastinya kerjaya sebegini menjadi pilihan terakhir seseorang untuk dilakukan kerana tugas begini memerlukan keberanian, kekuatan mental dan fizikal kerana masa bekerjanya adalah tidak menentu.
Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba menyelami kepayahan dan keperitan sesuatu kerjaya yang kurang diketahui orang ramai menerusi tayangan program terbaharu bertajuk “3P” mulai 18 Jun ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 12.05 tengah hari di TV1.
Baki Zainal Hos Program 3P, Kerjaya Mencabar di TV1
Bersama hos Baki Zainal, 13 episodprogram ini akan membawa penonton meninjau dan menyelami sesuatu kerjaya yang mempunyai tiga ciri utama iaitu panas, penat dan pelik. Seorang sukarelawan akan cuba melakukan kerjaya yang dipaparkan yang jauh berbeza dari rutin kehidupan mereka.
Menerusi episod pertama ini, Baki telah membawa para penonton ke Kuala Sepetang, Perak untuk meninjau kilang pembuatan arang kayu. Pelakon Dottie akan bertindak sebagai sukarelawan dengan bekerja di kilang arang kayu. Proses ini telah memberi pengalaman dan pengetahuan yang baru bagi Dottie. Baginya proses paling susah adalah mengeluarkan arang kerana terpaksa masuk ke iglu yang masih panas dan keadaan ini membuatkan Dottie mengalami kesukaran bernafas.
Seterusnya penonton berpeluang mengenali dengan lebih dekat kehidupan seorang badut. Badut yang ditemui adalah Awang The Clown atau nama sebenarnya En. Muhammad Fadly Abu Hassan. Beliau merupakan salah seorang badut yang terkemuka di Malaysia. Persembahan Awang kali ini akan disertai oleh seorang sukarelawan iaitu pelakon dan penyanyi, Munir Phyne Ballerz. Munir belajar cara-cara untuk menjadi seorang badut daripada Awang dan kemudiannya membuat persembahan bersama. Walaupun berjaya dalam persembahan mereka tetapi Munir mengakui bahawa memang susah untuk menjadi seorang badut dan seterusnya menghiburkan orang ramai.
Menarik dalam episod seterusnya mendekati kehidupan seorang pengurus jenazah. Seorang Pengurus Jenazah perlulah berani, kuat mental dan fizikal kerana masa bekerjanya adalah tidak menentu. Individu yang ditemui adalah Tuan Haji Hasbullah Muhammad Taib yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Untuk kali ini seorang pelakon, Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi bertindak sebagai sukarelawan. Beliau telah mempelajari cara-cara memandikan dan mengapan jenazah secara terperinci daripada Haji Hasbullah.
Mencuci tingkap bangunan tinggi adalah kerja yang sungguh mencabar. Pekerjaan ini memerlukan seseorang itu bergayut di atas bangunan tinggi dengan hanya bantuan tali. Mereka juga perlu menahan panas terik matahari serta tiupan angin yang kencang. Kali ini Baki bersama-sama sekumpulan Pencuci Tingkap Bangunan Tinggi yang diketuai oleh En. Ahmad Mujahid Abdul Hadi. Sukarelawan kali ini adalah seorang wartawan, Mohd Ifqdar Abdul Rahman bersama ‘team’ Mujahid menjalankan kerja-kerja mencuci tingkap di bangunan 18 tingkat di Kuala Lumpur.
Tidak kurang mencabarnya kehidupan seorang penjaga kuda. Individu yang ditemui adalah En. Azhar dari Rain Forest Advanture. Sukarelawan untuk penjagaan kuda kali ini adalah seorang pelakon iaitu Nas Muammar Zar atau DJ Nas T. Ada juga episod menyelami pekerjaan seorang penjaga zoo, En. Ramani a/l Kobalakrishnan ataupun Mani yang bertugas di Farm In The City, Seri Kembangan, Selangor. Untuk kali ini seorang jurutera, Ir. Dr. Zaifuddin Majid bertindak sebagai sukarelawan untuk membantu kerja-kerja yang dilakukan oleh Mani.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.