Mahu tampil dengan kelainan merupakan alasan penyanyi kumpulan nasyid Saujana, Dr. Idzu Baharin berani menggayakan persalinan serba kemilau dengan bahagian atas lengan berkepok pada Konsert Saujana 25 Tahun yang berlangsung malam tadi.
Katanya, kelainan yang dipamerkan menerusi fesyen dianggap sebagai perkara baharu dalam berdakwah sekali gus tidak membuatkan dirinya takut berdepan kecaman.
“Mungkin masyarakat belum biasa dengan fesyen sebegini dalam persembahan nasyid kontemporari tetapi selagi tidak keterlaluan dan boleh menarik orang mendengar perkara ingin disampaikan, saya teruskan.
“Fesyen juga merupakan cabang seni dan siapa tahu, mungkin saya dapat menarik orang untuk mendengar nasyid yang umpama berdakwah menerusi fesyen,” katanya ketika ditemui selepas konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Menurut pemilik nama sebenar Khairul Idzwan Baharin itu, setiap manusia dikurniakan karakter berbeza namun perlu terbuka dalam menerima kelainan.
“Ada kisah di sebalik persalinan yang saya pakai tadi. Saya cuba menterjemahkan konsep pakaian seiring elemen muzik arus perdana supaya irama nasyid tidak hanya dilihat dengan skop terhad.
“Genre nasyid lebih besar dari apa yang dibayangkan oleh segelintir orang. Apatah lagi, apabila cuba untuk mendalami arus perdana, kita perlu bereksperimentasi.
“Lagipun takkan hanya dilihat sama saja seperti 25 tahun dahulu kan? Jadi saya sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu,” kata penyanyi berusia 41 tahun itu.
Konsert Saujana 25 Tahun mempersembahkan lebih 20 seleksi dendangan popular mereka termasuk Keluarga Bahagia, Sepohon Kayu, Suci Sekeping Hati, Antara Dua Cinta dan Kebesaran Mu.
Selain Idzu, persembahan mega bersempena ulang tahun penubuhan kumpulan nasyid kontemporari itu turut dibarisi enam lagi anggota asal.
Sepanjang dua jam persembahan, acara pembukaan dimulakan dengan laungan azan selain diselitkan bacaan ayat suci al-Quran membuatkan konsert yang diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Yazid Zakaria itu bertambah unik.
Konsert yang meraih sambutan hangat dengan kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan usia tersebut turut menampilkan artis jemputan seperti Nazrey Johani, Ustaz Nabil, kumpulan Awla dan Andika.