in ,

Bagaimana Pandemik COVID-19 Beri Kesan Penggunaan Teknologi Pada 2020?

Setahun, sebanyak dua belas bulan yang lalu dipenuhi dengan pelbagai perkara yang mencabar. Sepanjang pandemik COVID-19 ini juga, teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan hidup masyarakat.

Berikut disenaraikan bagaimana pandemik COVID-19 memberi kesan kepada penggunaan teknologi pada tahun ini.

Aplikasi Pengesanan Kontak

Boleh dikatakan, semua telefon pintar pada tahun ini mempunyai aplikasi pengesanan kontak. Lihat sahaja di Malaysia, rakyat digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera. Masuk sahaja di mana-mana pusat membeli belah, pasti perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera. Seterusnya menjadi norma baharu dalam kalangan masyarakat.

Gergasi teknologi seperti Apple turut mengemaskini peranti iPhone dengan sokongan ciri Notis Pendedahan COVID-19. Sebelum itu, Apple dan Google turut bekerjasama menghasilkan API (application programming interfaces) untuk membolehkan peranti iOS dan Android berhubung untuk mengesan kontak.

Bagaimana Pandemik COVID-19 Beri Kesan Penggunaan Teknologi Pada 2020?

Acara Maya (Virtual)

Seperti sedia maklum, penstriman langsung bukanlah perkara baharu. Namun kini, dengan krisis kesihatan global, pelancaran sesuatu produk telah beralih secara maya.

Tiada lagi acara-acara yang dihadiri oleh media dan sebagainya. Sebagai contoh, acara Snapdragon Tech Summit yang secara tahunan diadakan di Hawaii terpaksa beralih secara maya pada tahun ini. Acara CES2021 pada bulan hadapan juga akan diadakan secara digital sepenuhnya.

Bagaimana Pandemik COVID-19 Beri Kesan Penggunaan Teknologi Pada 2020?

Penggunaan Platform Telesidang dan Panggilan Video

Pandemik COVID-19 mengubah cara kita berhubung antara satu sama lain. Antaranya adalah dengan menggunakan platform telesidang seperti Zoom, Google Meet, Cisco Webex dan Microsoft Team.

Jika ditanya, mungkin hampir kebanyakan daripada kita tidak pernah menggunakan mana-mana platform yang disebutkan sebelum ini. Namun, pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah cara kita berhubung, malah syarikat telesidang juga mula menambahbaik platform sedia ada bagi menampung keperluan pengguna yang semakin ramai.

Ada yang menggunakannya untuk berhubung dengan sanak saudara, menghadiri mesyuarat, pembelajaran dalam talian, pembentangan projek akhir, kelas masakan, konsert muzik, pameran seni dan sebagainya.

Bekerja Dari Rumah

Lebih banyak syarikat yang meminta pekerja untuk bekerja dari rumah. Bilik tidur, ruang tamu kini menjadi ruang untuk bekerja. Bukan sahaja mesyuarat secara maya, perkongsian fail juga dilakukan dengan penggunaan teknologi penstoran awan.

Bagaimana Pandemik COVID-19 Beri Kesan Penggunaan Teknologi Pada 2020?

Pembelajaran Dalam Talian

Tidak hanya kepada mereka yang bekerja, COVID-19 juga banyak mengubah cara pembelajaran. Dari menghadiri kelas secara fizikal, hampir sepenuhnya pembelajaran kini beralih secara dalam talian. Penggunaan Google Classroom menjadi norma baharu dalam kalangan guru-guru, para pensyarah dan pelajar.

Bagaimanapun, kelengkapan dan sambungan internet yang terhad masih menyukarkan pelajar untuk menyesuaikan dengan keadaan. Sehingga ada yang terpaksa memanjat pokok, terjatuh daripada jambatan, berkhemah di hutan dan sebagainya untuk mendapatkan liputan internet lebih baik.

Komunikasi secara maya juga dilihat lebih sukar.

Infrastruktur jalur lebar

Seperti yang dinyatakan di atas, pandemik COVID-19 menjadikan banyak perkara perlu beralih secara digital.  Namun, sambungan internet yang terhad memberikan kesukaran kepada ramai pihak.

Dengan peningkatan penggunaan internet dan perkhidmatan digital, kerajaan Malaysia mula mengambil langkah mewujudkan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Liputan internet mula ditambah baik di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Kesimpulan

Kebergantungan kepada teknologi digital tidak sepenuhnya dapat melengkapi keperluan kita dalam menjalani aktiviti sosial dan kehidupan seharian. Pergaulan adalah terhad dan menimbulkan ketidakseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Akan tetapi, kita juga sedar akan satu perkara. Pandemik COVID-19 menunjukkan kepada kita betapa pentingnya persediaan teknologi digital, yang membolehkan kita meneruskan kelangsungan pekerjaan dan kehidupan seperti biasa dalam keadaan krisis kesihatan global.

Apa yang pasti, sudah tentu 2021 akan menjadi lebih mencabar untuk kita.

*Sumber: Wiser

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mawar Rashid Selamat Melahirkan Anak Kedua, Diberi Nama Raden Seri Rosabella Cinta

Zoey Rahman Terima Hadiah Toyota Vellfire dari Mika Series Sempena Hari Jadi Ke-36 Tahun