Bael0n kembali lagi dengan corak lagu ‘catchy’ yang berjudul ‘Ngamsoi’ pula. Mendengar judulnya, ramai pasti tertanya maksud di sebalik lagu itu di mana dia memilih gunakan terma yang cukup menarik.
Menurutnya, dia memang sengaja tampil dengan judul yang mampu memancing perhatian pendengar. Baginya, percaturan itu tepat menggambarkan dirinya yang sentiasa tampil unik dan tersendiri.
“Perkataan Ngamsoi itu diambil daripada slang yang selalu masyarakat guna untuk ekspresi setuju atau mengiyakan sesuatu. Ngam atau Ngamsoi ini, kita selalu dengar penggunannya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina.
“Sebab utama saya memilih judul ini adalah kerana mahukan orang tertanya-tanya kenapa lagu judulnya Ngamsoi. Manakala dalam lirik pun saya berulang sebut Ngamsoi kerana senanglah diingati setiap pendengar,”
– Bael0n
Meskipun lagunya kedengaran santai, tidak bermakna Bael0n mahu pengisian liriknya tidak penting. Menurutnya, mesej yang disampaikan memang kedengaran merapu namun terjadi setiap hari dalam kehidupan ramai.
“Cerita di sebalik lagu ini secara asasnya mengenai seseorang menjalani hari yang cukup panas dan kemudian pergi membeli kopi ais. Tiba-tiba terjumpa dengan seseorang yang dia suka. Situasi minum kopi ais dan berjumpa individu itu memang ‘ngamsoi’.
“Kalau daripada segi mesej utamanya pula, saya mahu memujuk pendengar agar berani luahkan perasaan terhadap orang yang disukai. Kalau misalnya, mereka memang suka sama suka, tunggu apa lagi, jalinkan hubungan serius,” katanya.
– Bael0n
Tampil dengan konsep nyanyian hip hop untuk beberapa lagu terdahulunya, kali ini Bael0n beranikan diri untuk tunjuk sisi lain vokalnya. Misinya tidak lain untuk terus mencabar kemampuan dan berharap Ngamsoi berjaya menghiburkan ramai.
“Dua lagu terdahulu saya lebih ke arah genra rap yang ringan. Kali ini, saya ingin buktikan kemampuan vokal menyanyi saya pula kerana sebolehnya saya enggan kekal dalam sebuah genre semata-mata.
“Saya juga tetap tampilkan lagu santai kali ini kerana mahu hiburkan pendengar dengan melodi yang ringan. Kita semua sudah berdepan masa sukar bersama, maka diharapkan lagu saya ini mampu riangkan serta mendapat tempat di hati pendengar,”
– Bael0n
Demi lagu Ngamsoi, Bael0n juga mengakui membuat persiapan yang agak rapi demi memastikan kualiti serta hasil akhirnya menepati cita rasa terkini. Justeru, dia mengambil rujukan daripada penyanyi negara seberang untuk misi itu.
“Kebanyakan rujukan untuk bahagian nyanyian saya ambil dari muzik dan penyanyi Indonesia contohnya Diskoria menerusi lagu C.H.R.I.S.Y.E dan Sereneta Jiwa Lara. Cuma lenggoknya saya melayukan sedikit supaya boleh dinikmati bersama di sini,”
– Bael0n
Terdahulu, Bael0n sudah melancarkan dua lagu iaitu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Rindu’ yang diberi nafas baharu nyanyian asal Datuk M Daud Kilau dan Amelina. Bael0n juga turut ditampilkan dalam kempen It Starts on TikTok tidak lama dulu.
‘Ngamsoi’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.