Menurut Bael0n, dia belajar mengenai nilai persahabatan yang selamanya memberikan perasaan teristimewa dalam diri sejak di bangku sekolah. Bahkan, semangat untuk menjadi penyanyi serta penulis lagu sudah berkobar sejak dari sana lagi.
“Pada ketika itu, saya masih berada di sekolah menengah dan Najwa Latif, Ainan Tasneem berada di zaman kegemilangan mereka. Mereka menulis lagu sendiri dan memberi inspirasi kepada saya untuk tulis lagu sendiri juga.
“Kebetulan, saya sedang menjalani jalinan persahabatan yang sangat kukuh. Hubungan itu mencetus inspirasi untuk saya buat lagu ini sebagai satu luahan kata-kata buat rakan-rakan saya,”
– Bael0n,
Menerusi ‘Di Sini’, Bael0n mahu galakkan orang ramai supaya sentiasa bersyukur dan menghargai apa jua hubungan, baik persahabatan atau cinta. Katanya, sesiapa juga takkan pernah jangka bila seseorang itu akan pergi meninggalkan kita.
“Walau kecil mana pun sumbangan mereka, hargailah kerana setiap hal itu pasti mengajar kita sesuatu. Lagu ini sangat istimewa kerana mengimbau semula kenangan saya berada di zaman persekolahan. Ketika itu, saya dikelilingi ramai rakan-rakan yang begitu menyokong kuat.
“Meskipun secara keseluruhan, perjalanan sewaktu menempuh zaman persekolahan bukanlah indah sepenuhnya, tapi jalinan persahabatan itu benar-benar menggembirakan saya untuk dikenang,”
– Bael0n,
Penghasilan lagu ini juga sebenarnya lagu ini sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu. Bael0n menulis sepenuhnya ‘Di Sini’ dengan bantuan seorang penerbit iaitu Bo. Menurutnya, dia ada misi dan visual tersendiri bagaimana hasil akhir lagu ini.
“Saya menggambarkan lagu ini seperti lagu-lagu pop dari era 1970-an dan 1980-an. Saya memang nak mood lagu sebegitu kerana ingin tonjolkan lagi vokal yang lebih baik berbanding lagu-lagu sebelum ini,”
– Bael0n,
Bael0n tidak dinafikan penghasilan ‘Di Sini’ sebenarnya sangat-sangat mencabar kerana dilakukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Prosesnya turut diduga apabila kebetulan Bo pula menjadi kontak rapat kepada individu dijangkiti Covid-19.
“Memang mencabar kerana sewaktu menyiapkannya, kita berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlukan surat rasmi untuk keluar. Saya terpaksa merakam lagu ini tanpa kehadirannya secara bersemuka dan cuma guna FaceTime. Lagu ini pun belum siap sepenuhnya ketika rakaman itu.
– Bael0n
Bertitik tolak daripada menjadi penghibur di TikTok, kini nama Bael0n semakin meniti di bibir peminat muzik tempatan. Bahkan, dia berjaya membuktikan banyak sisi berbeza dalam bakat nyanyiannya sehingga kini.
Bael0n sudah melancarkan tiga lagu iaitu Cek Mek Molek dan Rindu yang diberi nafas baharu nyanyian asal Datuk M Daud Kilau dan Amelina, serta Ngamsoi pada tahun lalu. Dia juga turut ditampilkan dalam kempen It Starts on TikTok tidak lama dulu.
‘Di Sini’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.