Selepas mengaku dia adalah wanita dalam gambar seperti sedang mencium seorang lelaki di pusat hiburan yang tular di media sosial hari ini, pada sebelah petangnya penyanyi dangdut, Baby Shima, 28, memaklumkan ia sebenarnya adalah salah satu babak dalam penggambaran muzik video terbaharunya yang berjudul Lalai.
Baby Shima Sengaja Cetus Kontroversi?
Sebelum itu, Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.
Malah, dia juga tidak mahu mendedahkan siapa lelaki itu walaupun ia hanya penggambaran muzik video.
Sebaliknya dia mengakui terkejut bagaimana gambar itu boleh tersebar.
Walaupun ia kelihatan seperti sengaja mencetus kontroversi, namun Shima dalam satu video yang dimuat naik kira-kira jam 4 petang hari ini menafikannya.
“Buat apa saya nak buat gimik macam itu untuk malukan diri sendiri. Pastinya saya tidak memilih cara itu untuk mencari populariti.
Bila saya tengok komen-komen, semuanya menulis komen seolah-olah percaya tanpa tahu perkara sebenar,”
– Baby Shima
Shima berkata, gambar itu dirakam secara curi ketika dia terbabit dengan rakaman muzik video single terbaharunya itu.
Dilihat tidak dapat menahan rasa sebak, Shima menjelaskan foto tersebut adalah hanya lakonan untuk MV lagu terbarunya berjudul Lalai.
“Saya nak minta maaf mengenai gambar yang tersebar itu. Saya pun tak tahu datang dari mana. Mungkin orang yang sebarkan itu cuba nak memburukkan nama saya. Saya percaya orang ini mahu menjatuhkan saya dan memalukan saya serta buat orang benci lagi pada saya. Saya tahu tujuannya itu dan mungkin dia rasa puas apabila berjaya buat begini,” katanya.