Hanya tinggal dua hari lagi untuk kita menonton drama Sehangat Asmara. Korang excited ke tak?
Pelakon Adi Putra mengakui selesa dengan sikap Rita Rudaini kerana aktres itu bersikap terbuka dan memberi kerjasama bagi menjayakan babak-babak romantis bagi menjayakan drama bersiri terbaru mereka, Sehangat Asmara.
Dalam drama yang akan disiarkan di Mustika HD ini, Adi membawakan watak pelajar dan kemudiannya suami kepada Rita.
“Rita profesional, jadi tidak ada masalah apabila ada babak memerlukan saya mencium dahi dan mendukungnya. Ia memudahkan kerja saya menjayakan watak suami isteri bersamanya.”
Dalam pada itu Adi juga yakin drama yang diadaptasikan dari novel nukilan Aisha Sofea ini mampu memecahkan tembok fenomena naskhah Adam & Hawa lakonan aktor terkenal Aaron Aziz dan Nadiya Nisa. Ini kerana novel dengan judul yang sama itu sememangnya popular dan mempunyai pengikut tersendiri.
“Saya yakin Sehangat Asmara akan menjadi fenomena kerana ia diadaptasi daripada novel terkenal.”
Sehangat Asmara berkisar ranjau dalam hubungan dua darjat, Kamilia Najwa lakonan Rita Rudaini dan Zainal Arief (Adi Putra) yang berkahwin tanpa restu keluarga di Sydney, Australia.
Kebahagiaan mereka berakhir apabila Zainal terpaksa pulang ke tanah air dan berjanji untuk kembali semula ke pangkuan isterinya. Sembilan tahun berlalu namun Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dalam sengsara.
Diarahkan Mohd Feroz Kader, drama ini turut membariskan pelakon hebat seperti Shahrizal Jaszle, Fureena Ezlin, Izreen Azminda, Hafizuddin Fadzil dan Dian P. Ramlee.
Ia bakal ditayangkan bermula 21 Januari ini pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).