Tahniah kepada Azwan dan Sabihah!
Baca petikan dari Utusan Malaysia yang ditulis oleh Shazryn.
TIDAK dinafikan, impak lagu-lagu klasik dan malar segar begitu besar dalam perkembangan muzik tempatan.
Ini kerana lagu-lagu sebegini terlebih dahulu menjadi santapan halwa telinga peminat muzik terdahulu sebelum evolusi muzik berkembang dengan adanya pelbagai genre muzik yang ada sekarang ini.
Meskipun begitu, irama sebegini tidak harus dilupakan kerana tiada lagu-lagu sebegini, lagu-lagu baru hari ini tidak akan berkembang kerana tanpa yang lama tiadalah yang baru.
Justeru, sekalung tahniah harus diberikan kepada stesen penyiaran keramat negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana mengambil inisiatif untuk terus mengabdikan lagu-lagu klasik dan malar segar ini terus harum mewangi.
Dengan adanya pertandingan yang cukup berprestij seperti Bintang Klasik Nasional (BKN) yang memasuki tahun kedua, ia memperlihatkan kesungguhan RTM untuk terus menyburkan lagu klasik dan malar segar sebagai santapan yang sungguh istimewa kepada peminat muzik khususnya anak muda zaman ini.
Ini diakui sendiri oleh Pengawal Radio Klasik Nasional, Chuari Selamat apabila BKN tahun lalu memberikan impak yang cukup hebat dalam memperkasakan lagu-lagu klasik khususnya kepada remaja hari ini yang semakin melupai lagu-lagu sebegini.
Katanya, banyak perubahan yang dapat dilihat apabila tahun ini menyaksikan lebih daripada 1,000 penyertaan diterima sewaktu sesi uji bakat yang mengembara ke seluruh negara.
“Ternyata apa yang telah terjadi cukup meyakinkan kami bahawa irama ini sebenarnya masih lagi mendapat tempat di kalangan generasi muda hari ini.
“Dengan perubahan yang kami lakukan dalam memberikan variasi terhadap pemilihan lagu, ternyata membuahkan hasil yang boleh dibanggakan,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya pertandingan BKN hujung minggu lalu.
Tahun lalu, BKN menyaksikan Muhaizam Ahmad dan Anis Salwa Alauddin merangkul gelaran juara kategori lelaki dan wanita.
Chuari juga menjelaskan sewaktu sesi uji bakat, mereka yang hadir memang mempunyai masalah pada lagu yang mereka sendiri tidak pernah dengar dengan pelbagai alasan yang diberikan.
Tetapi selepas diperdengarkan kepada mereka, ternyata mereka menyukainya dan menyahut cabaran tanpa ragu.
Melihatkan 12 peserta yang bertanding di peringkat akhir, ternyata bakat-bakat yang dilahirkan oleh RTM sememangnya tiada tandingan.
Mungkin mereka tidak mengecapi populariti seperti rancangan pencarian bakat baru yang lain tetapi BKN tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri terutama melihat anak-anak muda yang masih lagi menyanyi lagu warisan pusaka bangsa.
Itulah istimewanya RTM yang sentiasa membuka peluang dalam pencarian bakat-bakat baru yang bersandarkan pada bakat dan bukannya pada paras rupa serta personaliti sahaja.
Jika tidak, nama-nama besar antaranya Allahyarham Sudirman Arshad, Datuk Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Nora dan Jamal Abdillah telah diakui dengan kehebatan bakat masing-masing.
Jujurnya, peserta BKN 2008 tidak hadir dengan pakej yang lengkap tetapi apa yang membuatkan mereka istimewa adalah mereka sebenarnya dikurniakan dengan bakat yang cukup istimewa sehinggakan penonton di dewan juga pening kepala memilih peserta kegemaran mereka untuk dinobatkan dengan gelaran juara.
Dek kehebatan yang ada pada suara mereka itu juga, pihak juri agak sukar memilih pemenangnya terutama juara dan naib juara yang bersaingan dekat dari segi perolehan markah keseluruhan.
Ini dijelaskan sendiri oleh Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail yang mengakui kesemua 12 peserta telah mempamerkan persembahan yang berkualiti setanding dengan bakat yang ada dalam diri mereka.
“Aspek yang paling kami utamakan adalah lontaran suara dan penyampaian yang merangkumi 50 peratus. Bukan itu sahaja, apa yang kami cari juga adalah keaslian kerana untuk membawakan lagu-lagu sebegini, mereka ada potensi untuk terikut-ikut penyanyi asal.
“Namun, itu tidak terjadi kali ini dan sebagai ketua juri, saya dapat melihat peningkatan kualiti bakat dari tahun lalu,” katanya.
Selain Mokhzani, enam juri profesional yang dilantik ialah Datuk Dr. Ahmad Nawab, Datuk Ibrahim Bachek, Syafinaz Selamat, Aishah dan Azmeer.
Dalam pada itu, Mokhzani juga menjelaskan, untuk tidak membiarkan kilauan permata mereka terus pudar, pemenang BKN akan diberi peluang merakamkan lagu-lagu baru yang sesuai dengan vokal mereka.
Bukan pemenang BKN sahaja, tetapi juga pemenang dari pertandingan terbitan RTM lain yang turut diberi peluang merakamkan suara mereka.
Sementara itu, bagi Mohd. Azwan Shahdi Mohd. Jalaludin, 29, gelaran juara dianggapnya sebagai satu rahmat yang tidak terhingga.
Katanya, pengorbanan dan keringat yang telah dicurahkannya selama menyertai pelbagai pertandingan anjuran RTM bagaikan berbalas.
Malah, Azwan juga pernah menyertai pertandingan Bintang HMI 1995 yang menyaksikan Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai juara dan terus menjadi bintang pujaan sehingga kini.
“Usah diperkatakan tentang pengorbanan kerana terlalu banyak yang telah dilakukan. Apa yang saya mahu lagu-lagu ini terus mendapat tempat di hati golongan muda kerana lagu-lagu ini begitu indah. Pada hemat saya juga, kalau tiada inisiatif dari Klasik Nasional sendiri, semua ini tidak akan terjadi,” katanya penuh makna.
Bercerita tentang lagu Asmara Dewi yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan pada malam itu, Azwan menjelaskan, dia sememangnya pemuja lagu-lagu seniman kelahiran Indonesia itu.
“Saya sudah biasa dengan lagu-lagunya tetapi untuk persembahan saya pada malam ini, saya telah mengubah dengan gaya dan cara saya sendiri. Saya tidak mahu terikut dengan gayanya kerana saya mahu tonjolkan diri saya,” jelasnya yang mengharapkan sinarnya dalam bidang seni tidak ditelan kabus.
Azwan turut memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang perancangan dengan hadiah kemenangannya berjumlah RM25,000 itu.
Meskipun kali pertama mendengar dan membawakan lagu Senyuman Tak Berbalas dendangan asal Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, namun, Sabihah Abdul Wahid berjaya membawakan lagu indah itu dengan gaya tersendiri.
Lalu tidak hairanlah peminat setia Asiah Tuah dan Allahyarham Datin Rafeah Buang ini dinobatkan dengan gelaran juara kategori wanita sekali gus menghampakan lima peserta lain.
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan berlatih, kemenangan menjadi milik saya. Semua ini tidak datang bergolek kerana saya melihat ini sebagai satu cabaran memandangkan kali pertama menyanyikan lagu yang tidak pernah saya dengar.
“Saya juga secara peribadi tidak pernah menganggap lagu-lagu klasik sebagai irama yang membosankan kerana ia mempunyai keistimewaan dan keunikannya. Jadi, kalau bukan kami warga muda tidak menghidupkannya kembali, siapa lagi?” jelas Sabihah yang juga merupakan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
BKN 2008 yang dikendalikan dengan baik oleh penyanyi Dia Fadilla dan penyampai radio Klasik Nasional, Sofia Abdullah itu juga menyaksikan persembahan menarik dendangan Muhaizam, Han dan Sarah Raisuddin dalam rancangan terbitan Azman Hashim itu.
Bukan itu sahaja, penyanyi veteran terkenal, R. Ismail turut diterbangkan khas dari Singapura untuk menghiburkan hadirin dengan suaranya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas itu.
Beliau sempat menghiburkan penonton dengan lagu Gelombang dan Dari Hati Ke Hati yang disampaikan secara duet bersama Anis Salwa.
Malah, sebuah segmen khas Serupa Tapi Tak Sama diadakan dengan menampilkan tiga insan seni iaitu Musly Ramlee, Kenny Lee dan Abdul Razak yang berkebolehan meniru gaya dan nyanyian tiga penyanyi tersohor iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sudirman dan mendiang Loganathan daripada kumpulan Alleycats.