in

AZRUL AMILA AMIR & NURUL FATIHA JADI PEMBACA BERITA RTM

Azrul Amila Amir dan Nurul Fatiha Abd Hamid merupakan dua wajah baru yang menghiasi berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Meskipun mereka berdua berbeza dari segi pengalaman di dalam dunia penyiaran. Tapi, kedua-duanya berkongsi minat yang mendalam terhadap dunia penyiaran khususnya bidang penyampaian berita.

Sungguhpun masing-masing baru memulakan tugas di Bilik Berita TV RTM, namun masing-masing memiliki cerita yang berbeza dan amat teruja memulakan tugas sebagai pembaca berita di RTM. Oleh itu kesempatan yang hadir untuk menemubual mereka baru-baru ini digunakan sepenuhnya berkongsi perasaan mereka sebagai pembaca berita baharu di Angkasapuri.

Azrul Amila Amir Yakin RTM Mampu Menjadi Saluran Berita Nombor 1 di Malaysia.

Azrul Amira Amir yang baru berkhidmat dua bulan di RTM kini menyandang tugas selaku Ketua Meja Ekonomi dan Perniagaan di Bilik Berita TV memberitahu dia menaruh keyakinan yang tinggi bahawa RTM mampu menjadi saluran berita nombor 1 dan terunggul di negara ini. Hal ini kerana dia merasakan RTM mempunyai kemampuan yang cukup dari sudut sumber serta peralatan yang diperolehi.

Ditambah dengan barisan kakitangan Bilik Berita TV yang komited, bersungguh-sungguh serta bersistematik dalam menjalankan tugas mereka. Namun begitu, dia tidak menafikan kemampuan serta kekuatan yang sedia ada boleh diperkemaskan lagi. Dia juga berpendapat sudah tiba masanya RTM selaku sebuah stesen penyiaran kerajaan memiliki satu saluran berita sepenuhnya seperti yang terdapat dia negara-negara maju yang lain.  

Menurut anak jati kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 28 tahun ini, sebelum ini dia pernah berkhidmat selama lapan tahun di sebuah stesen televisyen swasta sebagai wartawan penyiaran juga pembaca berita. Dia yakin dengan pengalaman yang sedia ada, dia dapat menyumbang sesuatu bagi memastikan berita RTM akan terus unggul di hadapan.

Bila dijemput berbual mengenai pengalamannya sepanjang bergelumang di dalam bidang penyiaran. Azrul yang menjadikan Azmi Aziz dan Suhaimi Sulaiman sebagai idolanya memberitahu tugasan yang paling melekat diingatannya ialah sewaktu diminta membuat laporan mengenai peristiwa tsunami di Acheh dan juga Phuket. Dia merasakan suasana bencana alam seperti ini benar-benar menguji kemampuan dan kebijaksanaan seorang wartawan penyiaran mencari sumber berita yang tepat juga sahih. Dia terpaksa berhadapan dengan kesukaran pengangkutan serta komunikasi.

Sepanjang kerjayanya dia telah memiliki dua anugerah iaitu Anugerah Kewartawanan Pengguna TV Terbaik anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun ini serta Anugerah Laporan Hiburan Terbaik dalam Anugerah Kewartawanan TV Kebangsaan 2004.

Pada masa terluang pembaca berita yang masih bujang ini gemar bermain boling, berkaraoke dan melayari internet.

Nurul Fatiha Beralih Angin dari Lantai Gimnas ke Bilik Berita TV, RTM 

Tidak ramai yang mengetahui bahawa gadis kecil molek yang cukup sinonim dengan sukan gimnastik ini menyimpan impian menggunung untuk menjadi seorang penyampai berita. Kini, Nurul Fatiha Abd Hamid sudah berjaya menggapai impiannya di mana dia sedang sibuk menjalani latihan sebagai pembaca berita dan dijadualkan akan mula ke udara di kaca televisyen bermula bulan hadapan. Bukan itu sahaja, Nurul Fatiha juga mengatakan yang dia banyak meluangkan masa melihat gaya pembaca berita yang lain menyampaikan berita sebagai panduan serta persiapan awal.  

Gadis lincah berusia 22 tahun ini merupakan penuntut tahun akhir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang penyiaran. Nurul Fatiha telah menghambakan diri kepada arena sukan tanah air selama 13 tahun sedari tahun 1994 apabila diterima masuk ke dalam skuad muda kebangsaan dan mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya dari sukan gimnastik pada tahun 2007.

Sewaktu mendapat tawaran menjadi penyampai berita RTM sekitar bulan Oktober lalu anak bongsu daripada 3 adik-beradik ini mengambil keputusan untuk tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus maju ke hadapan untuk menjadi seorang penyampai berita yang berjaya memandangkan ia adalah kerjaya idamannya sejak kecil lagi. Dalam masa sama dia juga menerima tawaran untuk menjadi jurulatih, namun begitu dia menolaknya lantaran merasakan dia masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
    
Menurut Nurul Fatiha, “Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penyiaran ini apabila diberi peluang menjadi pengulas sukan bagi dua temasya Sukan Malaysia yang berlangsung di negeri Kedah Darul Aman dan juga negeri Terengganu Darul Iman. Pada pengamatan saya barangkali bakat saya mula mendapat perhatian ketika itu dan oleh itu saya dipanggil untuk menjalani ‘audition’ sebagai penyampai berita sukan ” ujarnya secara bersahaja.

Bila dilemparkan soalan sama ada dia menyesal meninggalkan dunia sukan yang telah sebati dengan jiwanya Nurul Fatiha hanya mampu tersenyum lebar sambil menjawab “Saya tidak menyesal meninggalkan gimnastik sebaliknya saya amat berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini. Menerusi penglibatan saya dalam empat temasya Sukan Sea saya telah  berjaya mengumpul  enam pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa. Gimnastik juga telah membawa saya melancong ke luar negara dan mengenali ramai orang” ujarnya dengan penuh berseloroh.

Bila diminta menghuraikan dirinya dalam lima perkataan. Nurul Fatiha menyatakan dirinya seorang yang ‘happy go lucky’, sensitif, aktif, lincah dan juga ‘friendly’. Nurul Fatiha juga memaklumkan bahawa Hafizal Hamad merupakan idolanya dalam dunia penyiaran dan di masa lapangnya dia gemar melayari internet.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Eksklusif: Gambar Diana Danielle Bawa Diri Ke Jakarta

THE LION ROARS LAKONAN CECILIA CHEUNG DI RTM2