Program realiti dalam talian yang seumpamanya di Malaysia ini diadakan bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu untuk tampil sebagai seorang hos berkebolehan dibimbing secara eksklusif oleh Datuk Aznil.
“Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada program ini dalam usaha melahirkan bakat-bakat baharu bidang pengacaraan.
InshaAllah dengan ilmu pengacaraan sepanjang lebih 30 tahun, saya amat teruja untuk berkongsi pengalaman serta melihat siapakah bakal mengungguli program yang seumpamanya ini.
Nasihat saya, yakin dengan keunikan diri sendiri, always be yourself dan jangan kekok untuk beraksi di hadapan kamera,”
– Datuk Aznil
Jual Letop telah memulakan misi pencarian bakat live streamer di mana rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas (yang tidak terikat dengan mana-mana agensi) boleh menyertai program ini.
Cukup mudah, hanya rekodkan diri anda mempromosikan apa sahaja barangan dengan durasi tidak melebihi 5 minit dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Muat naik video tersebut di Facebook atau Instagram anda beserta hashtag #hurrtvJualLetop dan akaun rasmi hurr.tv juga perlu ditag pada video penyertaan berkenaan.
Datuk Aznil akan menilai dan menapis video setiap penyertaan dan peserta berpotensi akan layak ke peringkat seterusnya. Bagi terma dan syarat lain, orang ramai boleh melayari https://www.hurr.tv/jom- layan/jual-letop/. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 November 2020, jam 6 petang.
Peserta terpilih perlu mempromosikan produk atau jenama tertentu sebagai tugasan dalam talian yang perlu diselesaikan secara langsung setiap minggu di akaun Facebook masing-masing.
Tugasan penting itu antaranya termasuklah mempromosikan laman web, produk dan jenama tempatan. Di akhir tugasan, Datuk Aznil akan membuat penilaian prestasi setiap peserta.
Peserta akan dipilih secara rawak berdasarkan prestasi untuk hadir ke studio bagi mendapatkan bimbingan secara eksklusif oleh Datuk Aznil dan juga tetamu jemputan. Kemuncaknya hanya 10 peserta sahaja akan mara ke peringkat akhir. Mereka akan dinilai berdasarkan jumlah tontonan, kreativiti, interaksi dan hasil jualan di sepanjang tugasan mingguan yang telah diberikan.
Juara bagi program ini akan menerima wang tunai RM50,000. Diikuti dengan RM15,000 (naib juara), RM8,000 (tempat ke-3), RM5,000 (tempat ke-4) dan RM3,000 (tempat ke-5). Kesemua lima peserta ini juga akan mendapat peluang diketengahkan di platform hurr.tv untuk menjadi hos bagi program sedia ada serta beberapa kandungan terbaharu.
Pengarah Saluran hurr.tv, Datin Elaine Daly berkata,
“Pembelian secara dalam talian kini sudah menjadi trend rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan interaksi hos dan pembeli merupakan nilai tambah yang memberikan satu dimensi baharu bagi industri jualan dalam talian.
Justeru, hurr.tv tampil dengan program ini yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan ilmu pengacaraan dibimbing secara eksklusif oleh Datuk Aznil Nawawi.”
– Datin Elaine Daly
Saksikan tugasan menarik setiap peserta dan bagaimana Datuk Aznil akan membentuk mereka untuk tampil yakin dan hebat dalam pencarian bakat live streamer Malaysia.