Pengacara popular Datuk Aznil Nawawi mengalirkan air mata ketika cuba menyampikan nasihat dan pesanan kepada pengikut di Instagramnya. Pesanan itu dibuat menerusi siaran langsung di Instagram miliknya semalam. Menerusi video berkenaan, Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil meminta supaya orang ramai mengikut segala arahan kerajaan.
Menerusi Instagram (IG) Live, semalam, pengacara yang mula menempa populariti menerusi program Pop Kuiz pada 1992 itu mengharapkan kes jangkitan COVID-19 makin berkurangan. Sebanyak 110 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 900 kes seluruh negara.
Video penuh emosi itu memperlihatkan selebriti berkenaan tidak mampu menahan sebak. Beliau tidak kisah sekiranya video siaran langsungnya itu tular supaya dapat memberi kesedaran mengenai nyawa.
“Saya tiada kuasa dan wang ringgit. Saya bukan orang penting dalam kementerian atau kabinet. Saya tiada cara lain.
“Apa yang saya ada hanyalah saluran media sosial dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
“Saya harap esok bangun, kes wabak COVID-19 akan menurun. Jangan tunggu sampai berlalu tempoh dua minggu. Kita buktikan boleh mengurangkan dan menjauhi virus ini dengan segera,”
– Pak Nil
Pengacara Tom Tom Bak itu berharap, masyarakat boleh memainkan peranan supaya wabak COVID-19 tidak terus menular.
“Siapa tahu Perdana Menteri akan membuat pengumuman yang memberikan khabar baik.
“Masa itu, kita bersama sujud syukur,”
– Pak Nil
Pak Nil tidak ralat melakukan IG Live selagi kes COVID-19 tidak menurun.
Sementara itu menerusi ruang komen, rata-ratanya memuji usaha Pak Nil memberi kesedaran berhubung isu COVID-19.
Kebanyakan mereka mengucapkan terima kasih atas tanggungjawab yang dilakukan.