in ,

Azizah Mahzan Jadi Isteri Alzheimer Dalam Drama Bersiri KASIH DI WAJAHMU

Pelakon Azizah Mahzan diberikan tanggungjawab menghayati watak wanita yang menghidap penyakit alzheimer menerusi drama bersiri “Kasih Di Wajahmu” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 9 Ogos ini, setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2.

Drama 26 episod arahan Harris Fadzillah ini menggandingkan Azizah Mahzan memegang watak Saerah bergandingan dengan Dato’ Jalalludin Hassan yang memegang watak Ishak, seorang suami yang terpaksa sabar menghadapi kerenah isterinya yang mengidap alzheimer selain turut dibantu oleh Bil Azali, Jue Aziz, Lisa Abdullah, Ann Abdullah dan Mikail Andre.

poster Kasih di Wajahmu

Kesetiaan Suami Menghadapi Isteri Alzheimer Dalam Drama Bersiri “Kasih Di Wajahmu” Di TV2

Memaparkan kisah bagaimana suami serta anak-anaknya menghadapi cabaran berdepan dengan individu yang paling rapat dalam hidup mereka menghidap alzheimer, kisahnya bermula dengan keterujaan Saerah untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinannya yang ke-37. Dia merajuk kerana suaminya Ishak tidak mengingatinya. Begitu juga anak-anaknya Yuna, Hisham, dan Aliya. Tetapi kemudian dia sedar dia tersilap hari. Hisham pula memberitahu ibubapanya bahawa dia mahu mempercepatkan perkahwinannya. Namun Saerah tidak bersetuju dengan permintaan itu.

Sejak itu sikap Saerah mula berubah. Penyakit pelupanya makin menjadi-jadi termasuklah ketika bersama Hisham dia terlupa mahu makan rojak dibeli. Begitu juga permintaan Yuna dan anak-anaknya yang mahu Saerah masakkan ayam masak merah sebaliknya Saerah masak rendang ayam. Saerah juga terlupa mana dia letak kunci kereta Aliya yang dijumpai oleh Hisham dalam peti sejuk.

Bila anak-anak Saerah kembali ke rumah mereka, Saerah rasa sunyi dan seperti tidak disayangi lagi. Perkara remeh melibatkan kereta Aliya rosak juga diperbesarkan oleh Saerah dan situasi itu memberi tekanan kepada suaminya Ishak yang mula mengidap pening kepala. Sementara itu Hisham rasa kurang tenteram dan balik ke kaampung untuk melihat ibu dan bapanya. Dia khuatir dengan keadaan ibunya yang di dapati semakin pelupa. Saerah telah memasukkan garam ke dalam lauk dua kali dan dia membuang ubat suaminya ke dalam tong sampah tetapi semua itu dilakukannya dalam keadaan lupa.

Situasi itu mendorong Hisham mengumpul adik-beradik di rumah kakaknya Yuna untuk membincangkan hal ibunya tetapi Aliyah bertekak dengannya dengan menyatakan Hisham mengada-adakan cerita. Dalam pada itu Ishak semakin buntu dengan sikap Saerah yang dilihatnya semakin pelupa malah isterinya menuduh Ishak mencuri duitnya. Hakikatnya Saerah telah memberikan duit tersebut kepada Aliya. Sedar sikap pelupanya, Saerah merayu memohon maaf pada Ishak.

Dato Jalaluddin Hassan watak Ishak ... suami yang setia terhadap isterinya

Ishak membawa isterinya berjumpa dengan doktor dan doktor mengesahkan Saerah menghidap Alzheimer. Aliya tidak boleh menerima berita itu dan menangis. Doktor memberitahu tahap Alzheimer Saerah sudah mencapai pertengahan membuatkan dia akan mula lupa banyak perkara. Ketika ini Saerah perlu diawasi dan dijaga dengan penuh kasih sayang. Hanya Hisham yang mengambil berat tentang ibubapanya, Aliya sentiasa sibuk dengan kerja manakala Yuna ambil sikap acuh tak acuh dengan berita ibunya mengidap Alzheimer.

Makan minum Cikgu Ishak juga tidak menentu menyebabkan dia stress dan pengsan. Apabila dibawa ke hospital, doktor memberitahu Cikgu Ishak kena strok. Hisham meminta Yuna menjaga ibu mereka sementara bapa mereka di hospital. Namun tindakannya tidak disenangi Hamdan suaminya. Aliya pula hanya mampu bertahan sekejap sahaja melayan kerenah ibunya.

Muncul Mahani, adik Ishak yang mahu membolot tanah pusaka milik keluarganya. Begitu juga kehadiran bomoh yang mendakwa Saerah ada saka. Takdir menentukan Ishak meninggal dunia. Saerah terkapai-kapai dalam dunianya sendiri. Hisham nekad menjaga ibunya kerana sedar kakak dan adik perempuannya lepas tangan begitu saja. Hisham turut memutuskan pertunangan dengan Fazira.

Sementara itu Hisham telah menceritakan pengalamannya menjaga ibunya dalam sebuah novel. Hisham gembira ada penerbit mahu mencetak novelnya itu berjudul ‘Kasih Di Wajahmu’.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

CYRILL HASSAN

Ulasan Filem SUICIDE SQUAD di Kaca Mata Penonton

Trailer Filem BEN-HUR – Living 1-sheet