Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal kematiannya. Bila dan di mana kita sendiri tak tahu. Jam 2 pagi tadi, Budiey mendengar perkhabaran duka seorang lagi anak seni telah pergi meninggalkan kita. Beliau ialah pelakon veteran dan seniman terkenal, Datuk Abdul Aziz Sattar. Allahyarham telah meninggal dunia di usia 89 tahun di Pusat Perubatan KPJ Kajang akibat serangan jantung kira-kira pukul 2 pagi tadi (Hari Selasa 6 Mei 2014). Innalilah. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga ruhnya dicucuri rahmat. Di kesempatan ini juga Budiey ingin mengucapkan salam takziah buat semua keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
Anak perempuannya, Sandakiah memberitahu wartawan Berita Harian, Aziz menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.
Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi. Budiey menganggap kehilangan besar dalam industri seni.
“Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah.”
Abu Ubaidah ketika dihubungi pula berkata, Aziz tiba-tiba mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri selepas itu. Jelas Abu Ubaidah lagi, dia berada di hospital berkenaan ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan redha dengan pemergian datuk kesayangannya itu.
“Sebelum ini keadaannya stabil kerana doktor mengatakan ia hanya serangan jantung biasa namun Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga redh dengan pemergiannya.”
Jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussien Onn dekat sini sebelum urusan memandikan jenazah dilakukan pada pukul 11 pagi. Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras.
Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU). Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok.
Gandingan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Pak Ajis bersama Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin sebagai trio Bujang Lapuk menjadi antara watak ikonik dalam dunia senimatik Melayu sejak era 1950an.
Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950an.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).
Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat – bercerai). Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.
Al-Fatihah.
Pada pagi ini, ramai sekali selebriti terkenal telah melahirkan rasa sayu sedih di laman sosial dan mengucapkan salam takziah buat keluarga. Tak ketinggalan pemimpin negara juga turut melahirkan salam takziah. Antaranya, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin:
Takziah kpd keluarga Allahyarham Datuk Aziz Satar. Kehilangan kpd negara. Semoga Allahyarham dtempatkan bsama golongan yg beriman Al-fatihah
— Muhyiddin Yassin (@MuhyiddinYassin) May 6, 2014