DA’I AZAMUDIN, ADIBAH DAN HADHARI MELANGKAH KE PUSINGAN AKHIR
[dropcap]P[/dropcap]encarian Da’i musim pertama kini hampir sampai ke penghujungnya apabila episod ke-11 yang bersiaran pada 30 March 2013 telah mengumumkan tiga finalis Da’i, Mohamad Azamudin Bin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Bin Romli dan Nor Adibah Binti Rozain berjaya melangkah ke pusingan akhir yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Minggu lalu (30 March 2013), Da’i menyaksikan empat finalis menjalani tugasan untuk menyampaikan ceremah umum yang bertemakan ‘Jom Ke Masjid’ selama 20 minit. Menariknya, tugasan pada minggu kesebelas ini dilakukan di dua lokasi yang berbeza.
Finalis Da’i Che Faizal Amir Bin Che Mat dan Mohamad Azamudin Bin Zainal diberi tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah di Masjid As Salam, Puchong Perdana, Selangor manakala finalis Da’i Muhammad Tajdid Hadhari Bin Romli dan Nor Adibah Binti Rozain melaksanakan tugasan minggu ini di Masjid Al Falah USJ 9 Subang Jaya, Selangor.
Seperti tugasan minggu lalu, finalis Da’i diberi kebebasan untuk menyampaikan ceramah masing-masing dalam apa jua pendekatan. Malah, mereka juga boleh menggunakan kreativiti masing-masing seperti penggunaan props, lakonan atau sebagainya untuk membuatkan penyampaian mereka tampak lebih menarik dan hujah mereka senang difahami dan diterima oleh penonton. Setiap pendekatan yang digunakan juga turut dinilai oleh para juri.
[pullquote align=”right”]Juara Da’i bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50, 000. Siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara sulung program Da’i?[/pullquote]
Di sepanjang sesi tazkirah ini, segala hujah dan teknik penyampaian diperhati dan dirumuskan oleh dua juri tetap serta seorang juri jemputan, iaitu Ustaz Haslin Baharim atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Haslin Bollywood. Finalis Da’i Che Faizal Amir Bin Che Mat yang mendapat markah terendah pada minggu lalu telah disingkirkan dan hanya tiga orang finalis Da’i sahaja yang layak ke pusingan akhir.
Menurut Penerbit Da’i, Shukri Hj Ibrahim, “Da’i musim pertama ini menyaksikan para finalis Da’i sudah mula pandai berdiri sendiri dalam menggalas tugasan serta tanggungjawab mereka sebagai Pendakwah Milenia. Walaupun hanya tinggal empat finalis yang bersaing untuk merebut tempat ke pusingan akhir nanti, harus diberi pujian juga kepada finalis Da’i yang telah tersingkir kerana mereka turut sama berjuang membuktikan kekuatan serta kebolehan mereka sebagai pendakwah golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah.”
Program satu jam ini menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin sebagai pengacara program untuk musim ini. Sementara itu, beliau turut ditemani dua rakan seperjuangan iaitu Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang bertindak mengendalikan segmen khas mingguan. Manakala panel juri tetap pula menampilkan salah satu ikon pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail bersama Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie yang bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan berdasarkan tugasan yang diberikan.
Juara Da’i bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50, 000. Siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara sulung program Da’i? Nantikan pusingan akhir program realiti Da’i yang akan berlangsung pada masa yang terdekat. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan Da’i boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my/dai dan akaun Twitter rasmi Da’i iaitu @DaiTV3 serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.