Genap dua bulan selepas menghadiahkan isterinya rumah baharu, aktor Azad Jasmin ‘mengamuk’ apabila sebahagian pagar kediaman semi D tersebut roboh dipercayai akibat dilanggar pemandu mabuk.
Isteri Azad yang juga aktres, Eira Syazira memuat naik sebuah video di laman Instagram memaparkan aktor berusia 45 tahun itu ‘bengang’ dengan kejadian terbabit sehingga mahu ‘mencari gaduh’ terhadap si pelaku.
“Mabuk punya pasal, periuk pulak jadi mangsa. Persoalannya, musim2 Covid-19 ni pun sempat lagi layan mabuk ke bro?,” tulis Eira.
Rakaman video berdurasi seminit 23 saat itu kemudian kelihatan suaminya meluru masuk ke dalam rumah dan mengambil kuali sebelum keluar semula untuk ‘bertemu’ dengan si pelaku.
Sebaliknya, video ini menjadi hiburan pula apabila Pak Azad ke dapur dan mengambil periuk milik isterinya untuk memukul individu yang melanggar tembok pagar rumahnya itu.
Setelah dihalang oleh isterinya, Pak Azad kemudian bermain badminton dengan anak sulung mereka dengan menggunakan periuk tersebut.
Tindakan Pak Azad itu secara tidak langsung membuatkan Eira Syazira ketawa dan terhibur dengan aksi suaminya yang spontan.
Bagaimanapun, aktor filem J Revolusi itu bertindak sebaliknya apabila mengayunkan kuali berkenaan dengan melakukan aksi bermain badminton bersama anak perempuannya Amarra Sofea Rose.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet terhibur dengan gurauan Azad apatah lagi pada mulanya dia kelihatan serius seolah-olah sudah hilang kawalan.
Terdahulu, Azad menunaikan impian isterinya dengan membeli kediaman lot tepi yang menghadap tasik itu selepas 13 tahun mereka sekeluarga menetap di rumah ‘flat’.