Pelakon Ayu Raudah cukup dikenali dengan watak gadis lemah-lembut dalam drama-drama yang pernah dibintanginya. Tidak hairanlah adik pelakon jelita Rozita Che Wan ini dibayangi dengan perwatakan ‘putih’ yang membuatkan penonton mengingatinya dengan watak yang baik-baik sahaja.
Begitu pun menerusi drama Pabila Syaitan Berbisik yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 22 April 2011, jam 10.30 pagi di TV1 yang meletakkannya sebagai watak utama bergandingan dengan pelakon terkenal Dato’ Jalaludin Hassan, Dian P.Ramlee, Remy Ishak, Ayu Raudah dan Hafizudin, pelakon cantik manis ini membawakan watak jahat sebagai gadis kampung lupa daratan yang sanggup menghancurkan rumahtangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.
Kisahnya bermula dengan memaparkan kehidupan Is dan Zulaikha yang bahagia sebagai suami isteri berubah dengan kehadiran Julia, anak kawan baik mereka Karim. Julia yang sukakan kemewahan menjadi lupa diri apabila mendapat layanan istimewa dari Is dan Zulaikha apabila Julia menetap dengan mereka di Phnom Penh (PP), Kemboja. Julia sanggup meninggalkan Brian kekasihnya kerana perselisihan pendapat dan memperlekeh-lekehan Brian yang masih belum stabil dari segi kewangan.
Julia bukanlah tidak mampu untuk memperolehi kesenangan hidup dengan titik peluhnya sendiri kerana dia gadis yang pintar. Tetapi Julia memilih untuk mendengar bisikan syaitan dan memilih jalan mudah kerana terlalu teringinkan kehidupan mewah. Begitu juga Is yang bahagia di dalam rumah tangganya yang dilayari bersama Zulaikha hampir 21 tahun memilih untuk mengikut hawa nafsunya dan tewas pada godaan Julia. Julia sanggup menghina dan memperkecil-kecilan Zulaikha yang selama ini menjaganya bagaikan anak sendiri.
Kebahagiaan Julia tidak lama apabila Is mati dan meninggalkan Julia yang baru dinikahinya seorang diri dalam keadaan mengandung. Pada masa itu Zulaikha telah pun pulang ke Malaysia untuk tinggal bersama Khalif kerana ingin mengubat hatinya yang luka atas perubatan Is dan Julia.
Julia masih angkuh dengan dirinya walaupun setelah kematian Is. Dia kembali ke Malaysia untuk tinggal bersama bapanya Karim tetapi sebaliknya bersikap kurang ajar dengan Karim apabila Karim menyuruhnya meminta maaf dengan Zulaikha. Setelah gagal dan tidak sefahaman dengan bapanya, Julia pergi menemui Brian untuk mendapat sokongan dari Brian tetapi ditolak oleh Brian. Brian kini gembira dan bahagia bersama Tina.
Menyedari yang dia kini sebatang kara dan mengandung. Julia bertekad untuk mendapatkan harta Is untuk menampung masa depannya. Alangkah kecewanya apabila usahanya gagal kerana Is tidak mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah di Malaysia.
Julia mengalami tekanan yang amat sangat dan kemurungan yang melampau. Namun perangainya masih belum berubah sehinggalah dia terjatuh dan mengalami pendarahan yang menggugat nyawanya. Pada masa itulah Julia mengalami “Pengalaman Sakaratul Maut”. Namun bagaimanakah kesudahannya?