Gandingan pelakon terkenal Adi Putra dan Ayu Raudhah sebagai teraju utama membintangi telefilem khas Ramadan, Mencintaimu dibantu Wan Nor Azlin dan Ridzuan Hashim ternyata menjanjikan plot menarik keinsafan seorang insan untuk dikongsi bersama penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Disiarkan pada 14 Ogos 2010 (Sabtu), jam 9.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1, Mencintaimu mengisahkan Airil adalah seorang usahawan muda yang menjadi idaman ramai wanita.
Walaupun sudah berusia 30 tahun, dia masih mempertahankan status solo kerana semua wanita yang ditemui belum menepati citarasanya termasuklah Nessa, pilihan ibunya sendiri.
Bagaimanapun segalanya berubah selepas pertemuan dengan Sofia, seorang gadis yang ditemuinya semasa di luar pejabat. Kedua-duanya telah terlanggar satu sama lain kerana terlalu rancak berbual di telefon bimbit. Talipon bimbit Sofia habis berterabur dan Airil membantu Sofia mengutipnya. Semasa itulah beg komputer bimbit mereka telah tertukar tanpa mereka sedari.
Apabila Airil berada di pejabat untuk mesyuaratnya barulah dia sedari komputer riba tersebut bukan miliknya. Mujur kad nama dan buku nota Sofia ada di dalam beg. Airil segera menghubungi Sofia dan Sofia terkejut kerana tidak menyangka mereka tertukar komputer.
Mereka bertemu seperti yang dijadualkan dan selepas bertukar-tukar computer, Sofia beredar meninggalkan Airil. Airil hairan kerana Sofia tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah dikenalinya.
Selepas pertemuan pertama, Airil sekali lagi memberanikan dirinya untuk bertemu dengan Sofia. Dari sekadar kenalan biasa, mereka menjadi semakin rapat dan Airil memberanikan diri meluahkan perasaannya kepada Sofia. Ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan.
Airil memberitahu keluarganya akan hasratnya hendak menjadikan Sofia ratu hatinya. Awalnya, keluarga Airil agak keberatan kerana mereka khuatir jika Sofia hanya ingin mengejar harta Airil tetapi Airil menegaskan bahawa Sofia sedikit pun tidak mengenali status Airil sebagai jutawan. Selepas yakin dengan penjelasan Airil barulah keluarganya bersetuju untuk berkenalan dengan Sofia.
Pertemuan dengan keluarga Airil berjalan lancar dan Sofia agak terkejut kerana dia tidak pernah mengetahui status Airil. Tetapi apa yang mengejutkan Sofia adalah keadaan di dalam rumah dan keluarga Airil sendiri yang nyata kurang keislamannya. Sofia pulang ke rumahnya dengan perasaan berbelah bahagi. Dia tidak pasti jika Airil sesuai untuknya kerana Airil bukan seperti yang disangkanya.
Dia sedikit pun tidak memandang status dan kemewahan Airil kerana itu bukan yang dikehendakinya. Sofia beristikharah dan pertemuan dengan keluarga Sofia berjalan lancar. Tetapi tembelang Airil pecah kerana apabila tiba waktu bersolat, Haji Ismail meminta Airil mengimamkan mereka bersembahyang dan Airil dengan jujur mengakui bahawa dia tidak tahu bersolat dan mengakui bahawa dia sekeluarga tidak mengamalkan kehidupan sebagai muslim yang sebenar.
Haji Ismail tidak mahu terburu-buru di dalam membuat keputusan dan dengan baik memberitahu bahawa AIril harus berusaha untuk menjadi Muslim yang sejati jika dia benar-benar ikhlas ingin memperisterikan Sofia.
Sepanjang perjalanan ke rumahnya, AIril berfikir panjang sama ada untuk meneruskan hubungan dengan Sofia atau tidak. Dia tidak pernah mengenali Tuhan dan tidak pernah mengamalkan cara hidup seperti seorang Islam. Malam itu, dia bertemu dengan rakan-rakan di kelab dan mereka menasihatinya supaya jangan sekali-kali mengubah gaya hidup hanya kerana seorang perempuan.
Satu hari Airil dikejutkan dengan kematian mengejut papanya di pejabat. Tiada siapa saudara mara yang menguruskan jenazah papa yang hitam hingga ke liang lahad sedangkan Airil hanya mampu memerhatikan. Airil mendapatkan bantuan Ustaz Yasin untuk membimbingnya semula ke jalan yang benar.
Namun mampukah dia berusaha gigih untuk menjadi muslim sejati? Lalu bagaimana pula kesudahan hubungan cintanya dengan Sofia? Saksikan Mencintaimu pada 14 Ogos 2010 (Sabtu), jam 9.00 malam di TV1.