in

Ayu OIAM Mengaku Berkahwin dan Ada Anak

Pada jam 3 petang tadi telah berlangsung majlis santai anjuran 8TV di Sri Pentas. Di situ juga turut hadir seorang artis yang dah lama tidak muncul gara-gara dikatakan berkahwin dan sudah pun mempunyai anak. Maka, ramailah media yang ‘jolok’ untuk mendapatkan pengakuan sendiri daripada Ayu. Akhirnya, Ayu mengaku yang dia dah berkahwin dan sudah pun mempunyai anak.

Budiey petik artikel ini daripada Portal Gua:

Kehilangan Ayu secara tiba-tiba sememangnya menimbulkan tanda tanya. Ramai yang ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada juara One In A Million (OIAM) musim kedua ini. Oleh kerana tidak ada sebarang jawapan yang diberikan oleh Ayu dan pihak pengurusannya, maka timbul banyak spekulasi tentang kehilangannya itu.

Pelbagai cerita tidak enak timbul sebaik sahaja penyanyi berusia 21 tahun ini hilang tanpa khabar berita. Antara gosip yang hebat diperkatakan ialah Ayu didakwa telah hamil luar nikah dan telah berkahwin secara senyap-senyap kerana keterlanjurannya itu. Sejauh mana kebenaran gosip ini hanya tuan badan yang boleh memberikan jawapan.

Ayu seronok dengan kehidupan barunya

Mungkin atas kesedaran itulah, Ayu akhirnya tampil membuat pengakuan bagi menjawab semua persoalan. Bertempat di bilik mesyuarat 8TV, hari ini Ayu telah memberanikan diri bertemu wakil media yang hadir. Dalam pertemuan ringkas itu, Ayu akhirnya mengakui dirinya kini sudah bergelar isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Syed Nashrul Haikal.

“Saya akui saya telah berkahwin pada awal tahun lalu dan kini telah pun mempunyai seorang anak lelaki. Saya harap jawapan ini dapat menjawab persoalan yang timbul. Kehilangan saya selama ini adalah kerana saya ingin berehat panjang serta sibuk menguruskan rumah tangga dan anak saya yang masih kecil,” jelas Ayu berterus-terang. Ditanya mengapa dia menyembunyikan perkahwinannya itu daripada pengetahuan umum, Ayu menjelaskan dia berbuat demikian kerana menghormati permintaan keluarganya dan juga keluarga suami yang tidak mahu menghebah-hebahkan tentang perkahwinannya itu.

Saya tampil membuat pengakuan hari ini kerana saya tidak mahu peminat dan pihak media terus-terusan membuat spekulasi

“Saya terpaksa sembunyikan perkahwinan ini kerana ia adalah permintaan daripada kedua-dua belah pihak keluarga. Sebagai seorang anak, saya akur dengan permintaan ini dan harap peminat dapat memahami perkara ini. Saya tampil membuat pengakuan hari ini kerana saya tidak mahu peminat dan pihak media terus-terusan membuat spekulasi. Saya mahu merungkai segala kekusutan. Lagipun, sudah sampai masanya untuk saya kembali ke dunia nyanyian. Sudah terlalu lama saya menghilangkan diri,” luah Ayu yang mengakui dia telah melangsungkan pernikahan di Kuala Kangsar, Perak.

Persoalannya, mengapa Ayu tidak mahu memperkenalkan suami dan anaknya sekiranya dia benar-benar mahu berterus-terang? Menjawab persoalan ini, Ayu sekali lagi menjelaskan yang dia, suami dan pihak keluarga telah bersetuju untuk tidak melibatkan suami atau anaknya dalam dunia hiburan yang diceburinya. “Cukuplah Ayu seorang yang menjadi perhatian. Keluarga suami tidak mahu Ayu mengheret suami dan anak untuk tatapan umum,” jawab Ayu ringkas.

Bagaimanapun, Ayu tidak kisah berkongsi lanjut tentang jejaka yang telah menambat hatinya itu. Menurut Ayu, lelaki yang dikahwininya itu seorang duda berusia 23 tahun, mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya terdahulu dan bekerja sebagai seorang jurujual di sebuah kedai perabot di Kuala Lumpur.

“Saya memilih dia sebagai suami kerana dia seorang yang baik, memahami dan banyak memberi sokongan selama ini. Ketika saya tidak mempunyai sesiapa di sini, dia ada bersama saya. Bukan mudah hidup di bandaraya besar ini. Banyak cabaran yang terpaksa saya hadapi memandangkan saya berasal dari kampung. Mujurlah dia ada memberi sokongan,” kata Ayu. Mengulas tentang gosip yang mengatakan dia menghilangkan diri kerana telah hamil luar nikah pula, Ayu menafikan perkara tersebut.

“Apa yang boleh Ayu katakan, perkara itu tidak benar. Terpulang kepada peminat untuk menilai. Ayu tidak mampu hendak menutup mulut semua orang,” jelas Ayu yang banyak menghabiskan masa di kampung halaman suaminya sepanjang tempoh ‘kehilangannya’ itu.

Terpulang kepada peminat untuk menilai. Ayu tidak mampu hendak menutup mulut semua orang

Seronok jadi ibu

Berkongsi pengalaman menjadi ibu pada usia muda, Ayu memberitahu dia memang seronok dengan kehidupan barunya itu walaupun pada mulanya perasaan gementar turut menjengah dalam diri. “Pada mulanya saya memang takut, tetapi lama-kelamaan, saya seronok melayan keletah dan ragamnya. Tidak susah menjaga dia kerana dia seorang bayi yang tidak banyak ragam. Sekarang ini ibu saya ada tinggal bersama-sama untuk membantu menjaganya,” cerita Ayu.

Menyentuh tentang perancangan kariernya pula, Ayu memberitahu sekarang ini dia memang sudah bersedia untuk kembali menyanyi. Kemunculan pertamanya nanti ialah pada malam kemuncak Anugerah Indusri Muzik ke-17 yang akan berlangsung pada 2 Mei hadapan. Selepas itu, dia juga akan sibuk dengan perancangan album terbaru yang mungkin akan diterbitkan dalam tahun ini. Sekarang ini pihak pengurusan Ayu sedang dalam proses mencari lagu-lagu baru untuk dimuatkan dalam album terbarunya itu.

Sebelum mengakhiri pertemuan hari ini, Ayu sempat memohon maaf kepada semua di atas kehilangannya itu. Menurut Ayu, dia terpaksa berbuat begitu kerana ingin menjaga hati banyak pihak. Oleh itu, dia sangat mengharapkan semua pihak boleh memaafkan dirinya dan sudi menerimanya kembali dalam industri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Anugerah PPMH Media Hiburan

Movie Day Out Sensasi Selebriti – Filem Clash of The Titans 2