Setelah begitu lama menanti saat diijabkabulkan, iaitu selama lapan bulan mengikat pertunangan, akhirnya pasangan yang selalu kita tengok hangat bercinta di sosial media ini, Ayda Jebat, 29 tahun dan Nabil Mahir, 33 tahun telah disatukan di sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, pada jam 3.28 petang, hari Jumaat iaitu pada tanggal 1 Januari 2021.
Memilih tarikh pertama dalam kalendar 2021, Ayda Jebat dan Nabil Mahir nampaknya begitu secocok sama cantik dan sama padan, maklumlah hati masing-masing sedang bahagia dan seperti yang kita lihat, akhirnya kini mereka sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz sahaja. Tahniah buat Ayda Jebat dan Nabil Mahir. Betullah kata orang kalau dah jodoh tak ke mana.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat dinikahkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Rozimi Zamri.
Majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana itu mengikut rutin normal baharu dan hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.
Pasangan itu segak dalam persalinan serba putih hasil rekaan pereka fesyen, Lynda Rahim.
Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan, manakala mas kahwin berupa seutas gelang emas. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Ayda berkata, dia bersyukur majlis akad nikah berjalan dengan lancar seperti dirancang.
Alhamdulilah, walaupun kini kita berada dalam norma baharu, syukur majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Di sebalik pandemik COVID 19 yang membataskan banyak perkara, saya dan Nabil memilih melangsungkan akad nikah yang wajib,”
– Ayda Jebat
Jelas pelakon wanita itu lagi, dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan tidak menolak rezeki sekiranya ditakdirkan menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
“Ini fasa baharu dalam kehidupan kami sebagai suami isteri. Saya dan Nabil percaya pasti ada dugaan dan cabaran yang bakal ditempuh.
“Sejujurnya, kami sudah lama mengimpikan saat ini dan sudah bersedia menimang cahaya mata, secepat mungkin, insya-Allah,”
– Ayda Jebat
Meskipun sudah memulakan fasa hidup yang baru namun Ayda Jebat bertekad akan meneruskan karier seninya seperti biasa.
Terdahulu, Nabil melamar Ayda selepas menjalin hubungan cinta selama beberapa bulan. Nabil sebelum ini melamar Ayda pada malam sambutan hari jadi penyanyi itu yang ke-28 pada 18 Mac lalu. Pasangan selebriti itu mencuri tumpuan apabila melangsungkan majlis pertunangan dalam talian pada 28 April lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.