Sekalung tahniah Budiey kalungkan buat vokalis kumpulan Ilusi, Ayai yang telah dinobatkan juara pertama program realiti Gegar Vaganza musim pertama malam tadi. Budiey kira kemenangan Ayai sudah dapat dijangka dan ianya menepati ramalan ramai pihak. Bukan berdasarkan dia yang paling otai, tapi berdasarkan mutu vokal dan persembahan sepanjang program ini berlangsung.
Juri juga bersetuju, persembahan vokal Ayai di Konsert Akhir GEGAR VAGANZA yg bersiaran langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malam tadi juga membuktikan beliau sememangnya layak bergelar juara. Dengan kemenangan itu Ayai membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 sumbangan Astro & Qu Puteh, trofi dan berpeluang merakamkan sebuah single terbaru.
Tahniah juga buat program Gegar Vaganza yang mula menemui penonton sejak November lalu kerana menjadikan program ini trending worldwide di Twitter semalam. Tidak syak lagi la kan, kalau tengok pada apa yang ditampilkan oleh produksi. Dengan beberapa gimik yang bikin jadi perbualan hangat di laman sosial, tak syak lagi lah kalau program ni jadi trending.
Budiey sempat menghadiri sidang media yang diadakan sejurus selepas konsert akhir berlangsung. Dari raut wajah gembira Abang Ayai, kami dapat melihat satu kepuasan dan jika tonton kembali semasa pengumuman dibuat, beliau cukup terharu membuat sujud syukur di pentas.
“Ini adalah kemenangan untuk semua penyanyi lain. Saya berterima kasih kepada Astro di atas penganjuran program ini.”
Ayai berjaya menewaskan lima peserta akhir lain iaitu Ifa Raziah, Fazli Zainal, Haleeda, Rahmad (Mega) dan Mamat Exist.
Penyanyi itu memberikan persembahan mantap membawakan lagu Jangan Kau Rayu (Rahim Maarof) dan Semangat Lamina (Lefthanded) serta Kalau Aku Kaya berduet dengan Rahmad.
“Berada di peringkat akhir sudah membuatkan saya berasa syukur kerana mampu berada sehingga ke tahap ini. Saya pun tidak sangka boleh menang kerana saingannya hebat-hebat belaka. Moga kejayaan ini membuka ruang untuk kembali lebih aktif dalam industri muzik tempatan.”
12 penyanyi tempatan yang telah menjayakan Gegar Vaganza untuk musim yang pertama ialah Mamat Exist, Rahmat Mega, Hasnol, Fazli Zainal, Sam Innuendo, Ayai Ilusi, Haleeda, Nadia, Shima, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.
Konsert Gegar Vaganza diserikan dengan persembahan istimewa daripada artis jemputan yang terdiri daripada Dato’ Jamal Abdillah, Amelina serta bekas peserta Gegar Vaganza.