Ashraf Muslim menerusi hantaran dalam Instagram memberitahu, ayahnya, Muslim Bulat, 67, telah dijangkiti Covid-19 tahap 5B dan dirawat dengan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Separa Kritikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Assalamualaikum semua. Dah lama saya simpan, bebarapa hari yang lepas ayah saya, Muslim Bulat telah dijangkiti Covid-19, kategori 5B dan sekarang sedang diintubasi di PPUM.
Ashraf atau nama sebenarnya Muhd. Ashraf Muslim, 41, sebelum ini merahsiakan keadaan ayahnya yang dijangkiti wabak maut tersebut.
Pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu turut memohon ahli keluarga dan peminat mendoakan agar ayahnya beroleh kekuatan untuk melawan ujian berat yang diberi.
“Saya mohon ahli keluarga, sahabat handai dan semua orang mendoakan ayah saya dan cepat sembuh,”
– Ashraf Muslim
Untuk rekod, April tahun lalu, Ashraf turut dijangkiti Covid-19 sekembali pulang menjalani penggambaran drama bersiri, Demi di Inverness, Scotland.
Selepas 25 hari dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, Selangor, Ashraf akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang.
Sama-sama kita doakan semoga ayah Ashraf Muslim cepat sembuh.