Penyanyi rock terkemuka tanah air, Datuk Awie tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat produk berasaskan suplemen, AG Nutrition International Sdn. Bhd. kerana menggunakan imejnya yang disunting tanpa kebenaran untuk tujuan promosi.
“Gambar saya bersama produk syarikat berkenaan sudah tersebar di laman-laman sosial oleh ejen-ejen mereka. Malah, saya juga dikatakan menyokong dan menggunakan produk berkenaan, sedangkan saya tidak tahu apa-apa.
“Untuk pengetahuan semua, saya tidak dilantik menjadi duta atau memasarkan produk berkenaan. Gambar yang tersebar pula adalah palsu yang sudah disuper impose,” jelasnya.
– Awie
Kata Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, dia tiada kena-mengena dengan syarikat tersebut baik sebagai duta mahupun pengguna produk.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar secara virtual bersama media yang berlangsung hari ini.
Awie berkata, dia telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya gambar yang dimuat naik dipadam oleh pihak mereka.
“Ada yang tanya betul ke saya join produk tersebut. Sepatutnya syarikat berkenaan perlu lebih peka. Lagipun saya tak nak orang ramai tertipu,”
– Awie
Dalam pada itu, peguam Awie, Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates memberitahu memang terdapat banyak bukti yang menunjukkan gambar anak guamnya telah disalahguna.
Menurutnya, satu surat tuntutan daripada pihak Awie telah dihantar kepada syarikat berkenaan pada 6 Januari lalu.
“Antara tuntutan yang dikemukakan adalah meminta supaya syarikat berkenaan dan ejen-ejennya membuang dan tidak lagi menggunakan gambar-gambar tersebut dalam tempoh masa tujuh hari.
“Bagaimanapun, pihak mereka telah membalasnya pada 13 Januari dan menafikan mereka mengetahui mengenai perkara berkenaan,” jelasnya.
– Awie
Menurutnya lagi, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, dia akan berbincang dengan Awie sama ada mahu mengambil tindakan saman terhadap mereka.