Memetik dari Portal Kopi Planet yang ditulis oleh Roni, pelakon dan penyanyi Datuk Awie mendedahkan perasaan terkilannya berhubung jumlah bonus yang diterima atas kejayaan filem Hantu Kak Limah yang mencecah kutipan RM38 juta.
Awie berkata, bonus yang diterimanya itu dirasakan kurang berbaloi berbanding dengan jumlah kutipan yang diraih filem berkenaan.
“Kalau ada sambungan filem ini, saya akan tanya dahulu siapa penerbitnya. Kalau masih penerbit yang sama, saya akan menolaknya.
“Lagipun saya tak kisah watak itu saya dimatikan sahaja. Memang tidak ada pelakon yang bersuara, cuma saya seorang yang bangkitkan perkara ini dalam laman sosial,” ujarnya.
Awie berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar Dinner GIG 2018 FUFC The Fighters yang berlangsung di Bangi petang ini.
Tegasnya, dia bersuara terhadap perkara ini bukan untuk dirinya sahaja, tetapi untuk kesemua barisan pelakon dan kru filem berkenaan.
Ujarnya, dia sudah memaklumkan perkara ini kepada Mamat Khalid dan pengarah tersebut sudah memanjangkannya kepada pihak penerbit, Infinitus Gold, tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan.
“Saya tiada masalah dengan Mamat Khalid dan bersedia untuk terus berlakon filem di bawah arahannya. Cuma saya berasa agak terkilan perkara yang berlaku terhadap filem HKL ini.
“Bukannya saya tidak bersyukur dengan bonus yang diterima, tetapi ia langsung tidak berbaloi dengan kutipan dan keringat yang diberikan. Bayangkan, bonus untuk HKL sama seperti bonus yang diterima untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dahulu, sedangkan filem itu sekadar mengutip RM8 juta sahaja,”
Itulah, kalau ya pun kasi la lebih sikit. Barulah semua orang puas hati.
Sumber: – KopiPlanet.com