Bagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi hiburan utama pilihan rakyat Malaysia, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV bakal membuka tirai 2023 dengan mengembalikan nostalgia peminat terhadap kumpulan Senario yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi program sketsa terbaharu ‘Kampung Senariuh’ yang akan menghiasi slot ‘Sitcom’ pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam bermula 1 Januari 2023.
Dalam pada itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas sokongan dan liputan yang diberikan selama ini, pihak Awesome TV buat julung kalinya juga turut berbesar hati meraikan para pengamal media dalam sebuah ‘Majlis Malam Apresiasi Media Bersama Awesome TV’ yang dianjurkan serentak bersama majlis pelancaran program ‘Kampung Senariuh’ pada malam ini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai majlis double celebration dan hala tuju Awesome TV bagi tahun 2023, Dato’ Adam Ilyas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV berkata, “Pihak media memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu membuat hebahan dan liputan berita khususnya berkaitan dengan program-program terbitan Awesome TV dari mula kami beroperasi sehingga hari ini.
Oleh itu, kami dengan berbesar hati menganjurkan ’Majlis Apresiasi Media’ pada malam ini bagi menghargai segala komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh para pengamal media kepada kami.
Tanpa jasa dan usaha keras semua pihak yang terlibat khususnya pengamal media sebagai penghubung berita dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan tidak berat sebelah mengenai Awesome TV kepada seluruh rakyat Malaysia, kami tidak akan berada di tahap ini sekarang.
Kami juga amat berbesar hati di atas pengiktirafan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ‘Majlis MCMC Star Rating Awards 2021’ pada malam tadi yang mana Awesome TV berjaya merangkul anugerah cemerlang dalam kategori ‘Best Consumer Satisfaction For FTA Television’.
Program ‘Kampung Senariuh’ 15 episod arahan sutradara terkenal Bob Ismail Hasim diterajui oleh empat ahli kumpulan Senario iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin dan turut dibintangi oleh Mamak selaku pelakon pembantu. Selain itu, program ini juga diserikan dengan kehadiran barisan artis jemputan yang terdiri daripada Mia Nasir, Afifa Nasir, Zalif Sidek, Marisa Yasmin, Ammar Titan, Kazar, Chiwan, Bard Kerdil serta turut menampilkan barisan bintang ‘Awesome Raja Lawak’ seperti Kumpulan Soda, Kumpulan Manja, Azhar, Amin, Oky dan Afea sebagai penampilan khas.
Program sitkom ‘Kampung Senariuh’ berkisarkan tentang empat orang sahabat baik iaitu Pak Azlee, Wahid Deghian, Apek dan Yassin Rambo dari Kampung Sena. Mereka cukup dikenali dalam kalangan penduduk kampung dengan ragam dan gelagat mereka yang mencuit hati ketika melepak di warung dan sering berborak mengenai isu-isu semasa terutamanya kejadian yang berlaku di kampung mereka.
Watak Pak Azlee merupakan seorang pemilik warung kedai kopi yang menjadi port utama untuk melepak oleh penduduk Kampung Sena. Watak Wahid Deghian pula merupakan seorang pengusaha sebuah dusun durian di Kampung Pokok Senariuh. Manakala watak Apek pula merupakan seorang pemilik studio jamming di kampung tersebut. Watak Yassin Rambo pula merupakan seorang pemilik sebuah bengkel motor.