Awesome TV, saluran televisyen swasta percuma (’free to air’) tanah air hari ini meraikan rakan-rakan niaga, wakil pengurusan dari syarikat swasta, Kementerian dan agensi serta barisan pemain industri diraikan dalam satu majlis gilang gemilang, ”Awesome TV 2023 Screening – NOW YOU SEE ME!”.
Bersiaran buat pertama kalinya pada Ogos 2020 di platform Astro (saluran 123) dan MyTV (saluran 112), Awesome TV sehingga hari ini telah merekodkan pencapaian cemerlang apabila menerima lebih dari 2.6 bilion jumlah tontonan!
Mengangkat empat genre kesukaan ramai iaitu sitcom, drama, filem dan program realiti, Awesome TV terus menjadi pilihan ramai dan berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai ”Stesen TV Terbaik di Malaysia”.
Dalam pada itu, program berita terbitan Awesome TV, ’Berita 757’ yang dilancarkan pada 1 Februari lalu turut mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila merekodkan sejumlah 90 juta tontonan sehingga hari ini.
Menggunakan slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’, ‘Berita 757’ yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 7.57 malam kekal konsisten mengupas kandungan berita berkaitan isu-isu semasa dan sensitif yang dekat dengan masyarakat tanpa berpihak kepada mana-mana pihak.
Diterajui oleh pemain veteran dalam industri kewartawanan negara, Dato’ Yushaimi Yahaya sebagai Ketua Editor Berita, ’Berita 757’ dikemudikan oleh lima personaliti berita yang bertanggungjawab untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir. Mereka adalah Justin Ang, Mosen Nadzli, Nadrah Mohd, Kamalia Jamaluddin dan Adriana Ghafar.
Johan Ishak, Pengarah Urusan Awesome TV berkata, ”Di luar sana, ramai yang membuat persepsi bahawa ’TV business’ dilihat seakan merundum dan platform digital dijadikan pilihan utama penonton untuk mendapatkan konten sama ada hiburan, berita mutakhir, informasi terkini dan banyak lagi. Namun begitu, statistik menunjukkan, sejak dari tiga tahun kebelakangan ini terutamanya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, kenaikan sebanyak lebih 25 peratus jumlah tontonan merentasi platform linear atau televisyen dapat dilihat dengan ketara. Kenaikan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa ramai lagi penonton di luar sana memilih untuk menonton sajian kandungan terutamanya program-program hiburan seperti rancangan realiti, komedi, drama, filem-filem pecah panggung tempatan dan luar negara ataupun karya agung P Ramlee menerusi televisyen.
Justeru, peranan Awesome TV sebagai wadah utama pilihan rakyat Malaysia wajar diakui, dan kolaborasi bersama rakan-rakan niaga dan para pengiklan di luar sana sudah pasti mampu membentuk satu sinergi dan mewujudkan senario ’win-win situation’ di antara kedua-dua pihak. Dengan penyusunan sajian kandungan dan konten yang lebih menarik, unik dan menghiburkan sepanjang tahun hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan positif terutamanya dari aspek pengiklanan buat keluarga Awesome TV.”
Untuk tahun 2023, Awesome TV menjangkakan lebih banyak produksi mega bakal direalisasikan seperti program realiti ”MIC ON Selebriti” yang mana akan menampilkan barisan artis (bukan penyanyi) mempersembahkan bakat mereka menyanyi dan akan dilatih oleh ’Managers’ yang terdiri daripada barisan selebriti. Dalam pada itu, ”Awesome Raja Lawak” yang kini sedang rancak bersiaran secara langsung di platform Awesome TV juga dijangka bakal menemupi peminat untuk musim yang kedua pada tahun hadapan.
’Memoria’, sebuah program ’game-show’ yang mencabar daya pemikiran dan fizikal peserta yang terdiri daripada barisan artis popular tanah air juga dijangka akan menemui peminat di musim kedua tahun hadapan.
Terdahulu, majlis penuh eksklusif ”Awesome TV 2023 Screening – NOW YOU SEE ME!” dihadiri hampir 400 tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan niaga, wakil pengurusan dari syarikat swasta, Kementerian dan agensi serta barisan pemain industri.
Aturcara malam tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan persembahan rakan-rakan artis popular negara seperti kumpulan Ruffedge, De Fam dan Drama Band. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Dato’ Adam Ilyas dan Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zulfadzli.