[dropcap]P[/dropcap]elakon Awal rasa terkilan kerana hajat untuk mengerjakan umrah bersama isteri dan keluarga di bulan Ramadan tak dapat ditunaikan kerana ada masalah dengan visa. Selain pergolakan di Mesir dan kejadian rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang, Awal Ashaari juga membatalkan niatnya itu atas dasar keselamatan dirinya dan keluarga.
Awal harap dapat mengerjakan umrah awal tahun depan apabila ketegangan di Mesir reda.Insyaallah, dipermudahkan.
“Ikutkan kami sekeluarga akan pergi seramai lapan orang termasuk, ayah, ibu dan mentua, tetapi disebabkan kami mendaftar pada saat akhir, agensi memaklumkan, sukar untuk mendapatkan visa sekaligus. Tambahan pula ketika Ramadan, jumlah jemaah berganda berbanding bulan biasa.”
“Selepas berbincang, kami bersepakat menangguhkan dulu pemergian ke sana. Saya memang pilih bulan puasa untuk merasai nikmat berpuasa di Tanah Suci dengan isteri dan keluarga terdekat tapi nampaknya belum ada rezeki.”
“Mungkin ini ada hikmahnya. Ibu bapa saya pula taklah sekuat dulu. Sekarang mereka bersolat di kerusi, jadi dalam keadaan jemaah yang ramai, ada saudara terdekat menasihati kami mencari waktu yang sesuai.”
Awal pernah mengerjakan umrah dan menyambut 1 Syawal di mekah pada tahun 1998.