Tiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri, akan muncul pelbagai iklan raya daripada pelbagai syarikat korporat dan usahawan tempatan.
Tahun ini, buat pertama kalinya pengeluar jenama baju Melayu popular Bulan Bintang tampil dengan iklan raya sendiri berjudul Raya Macam Star.
Raya Macam Star ditonton lebih 500,000 hanya selepas dua hari dilancarkan di platform penstriman YouTube.
Meninjau ruangan komen di media sosial, rata-ratanya memuji kualiti penghasilan iklan raya berkenaan yang sudah nampak setanding dengan jenama yang kerap mengeluarkan iklan raya saban tahun.
“Bulan Bintang punya iklan raya, lain macam weh level dia. Dah tahu dah tahun depan nak tunggu iklan siapa. Power!” tulis @AkeemSharyzal
“Level level iklan TNB siot. Power,” tambah @syafiqyzd
“Lawa cinematography n editing dia,” tulis @nhxkm_
“Fuhh iklan merekot mat,” sahut @mrbunroy pula.
Malah, ada juga yang meminta Bulan Bintang meneruskan kesinambungan iklan raya berkenaan untuk tahun-tahun mendatang.
Dalam iklan terbabit, Zul seorang pemuda kampung yang jauh hati pada seorang gadis dan cuba mencari jalan untuk bertemu dengan gadis terbabit ketika Syawal.
Menerima cadangan daripada poster Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya dan Beto Kusyairy yang boleh bercakap, Zul menjemput seisi kampung untuk datang ke rumah terbukanya.
Lucunya, ketika menyarung baju Melayu Bulan Bintang, Zul tiba-tiba bertukar sekacak Shukri Yahaya dan impiannya untuk bertemu dengan gadis terbabit (lakonan Hannah Delisha) tercapai.