Aunty Must Go Crazy
“Rancangan Realiti Pertama Didedikasikan Khas Buat Mak Cik – Mak Cik di Malaysia”
Jangan sekali-kali memandang rendah kepada golongan mak cik! Mereka bukan setakat mak cik kerana siapa sahaja yang lebih berkuasa di kejiranan anda kalau bukan mereka. Apa sahaja yang berlaku pastinya bakal diketahui dan dicungkil mereka yang gemar mencari bahan cerita. Kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pencanang berita malah pandai dalam soal tawar-menawar barang, menjahit, memasak, menggiling apatah lagi dalam membezakan mana satu serbuk jintan dan mana satu serbuk ketumbar kalau tidak dilabelkan.
Segala kemahiran ini mereka pelajari sendiri melalui pengalaman di rumah, semasa berkebun atau ketika membilas baju sehingga ada yang memandang remeh kebolehan mereka. Walhal, mereka memang boleh dianggap sebagai adiwira sama ada ketika berperanan sebagai ibu ataupun isteri. Bagi memberi penghargaan kepada golongan mak cik-mak cik ini, ntv7 bakal menyiarkan sebuah rancangan realiti permainan istimewa buat mereka yang dinamakan “Aunty Must Go Crazy” untuk mencabar mak cik di seluruh Malaysia untuk melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan mereka. Rancangan realiti permainan ini bakal bersiaran setiap hari Ahad pada pukul 7 malam bermula 5 Ogos 2012.
Rancangan yang keudara selama sejam bagi setiap episod ini ditaja oleh jenama bahan pencuci terkenal, “Kuat Harimau”. Pemilihan maskot harimau di dalam setiap bungkusannya secara tidak langsung melambangkan kekuatan dan kehebatan yang cuba ditampilkan di dalam rancangan ini di mana mak cik – mak cik yang menyertainya mempamerkan bakat dan kegigihan mereka yang sentiasa membuat kita kagum terhadap mereka. Aunty Must Go Crazy bakal menampilkan dua orang pengacaranya yang lincah dan bertenaga – Eean Koo dan Lu Ser Yee – yang bakal bersama para golongan ibu ini menempuh cabaran yang telah disediakan. Eean yang juga merupakan pengarah siri permainan ini akan cuba mengacara buat kali pertama.
Boleh dikatakan versi kampung ala-ala rancangan Amazing Race, dua orang mak cik dari bandar atau kampung terpilih akan bersaing sesama sendiri di dalam setiap set pusingan. Dua pengacaranya juga akan digandingkan bersama mak cik-mak cik ini di dalam setiap halangan yang diberikan. Setiap pasukan akan diberikan arahan untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Antara cabaran yang bakal diberikan adalah mencari lokasi jenis makanan terkenal atau barangan pilihan, mencari tawaran terhebat keperluan rumah yang bukan saja murah, malah berkualiti, menjadi pemandu pelancong ke lokasi-lokasi terkenal serta banyak lagi. Kesemua tugasan ini akan menguji betapa peserta mengenali daerah atau lokasi yang mereka sudah lama diami.
Hanya seorang pemenang sahaja yang layak untuk ke pusingan kedua bersama pemenang daripada episod lain sehingga hanya tiga orang mak cik sahaja bakal merebut gelaran juara di episod akhir rancangan ini. Bagi mereka yang gagal di pusingan kedua, mereka bakal diberikan peluang di dalam sesi pemilihan “wildcard” di mana hanya seorang sahaja peserta yang bakal dipilih ke pusingan akhir. Empat finalis ini kemudiannya bakal berhadapan dengan pusingan paling mencabar dan hanya seorang sahaja yang bakal memenangi rancangan Aunty Must Go Crazy.
Penonton bakal melihat beberapa kawasan kebudayaan serta tempat menarik di negara ini termasuklah di Muar, Raub, Nibong Tebal, Sitiawan, Port Dickson, Sungai Udang, dan banyak lagi.
“ntv7 amat teruja untuk menyiarkan rancangan realiti permainan buat para mak cik dari seluruh Malaysia. Jangan sesekali memandang rendah akan kekuatan dan kebijaksanaan mak cik-mak cik ini kerana mereka lebih kuat dan tahan cabaran daripada apa yang kita sangkakan. Amat menakjubkan melihat dari mana datangnya kekuatan mereka ini,” kata Lai Cheah Yee, Pengurus Kumpulan Pengurusan Penjenamaan ntv7.
“Penonton juga bakal terhibur dengan kelucuan dan keseronokan yang ditunjukkan oleh peserta daripada golongan mak cik ini yang pastinya menceriakan lagi petang Ahad anda,” tambah Cheah Yee.
“ntv7 juga amat berbesar hati dengan kehadiran jenama yang gah seperti Kuat Harimau yang menaja rancangan siri yang luar biasa ini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menjadi rakan kongsi yang hebat,” kata Cheah Yee.
Jika anda fikirkan bahawa mak cik hanya hebat di dapur atau di pasar, fikirkanlah semula. Saksikan Aunty Must Go Crazy setiap hari Ahad jam 7 malam, bermula 5 Ogos 2012 hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7.