Mak Cun memang gigih dan tidak pernah berputus asa! Mak Cun kembali dengan musim ke lima iaitu ATIN, ATAN & MAK CUN yang membawa cita-citanya lebih jauh hingga ke negara China. Drama yang telah mula bersiaran pada 18 Julai lalu ini diarahkan oleh Izuan Mokhtar dan dibarisi oleh pelakon utamanya Eirma Fatima, Datin Paduka Umie Aida, Nora Danish, Dato Rahim Razali, Sherry Alhadad, Amelina, Chef Zam, Jay Nazif, Nur Khadra Syamimi , Zareef Yusof, Muzayyin, Putri Qaseh, Damia Qaissarah, Syafiq dan Wafiy Irfan Ariffen.
Dalam Atin, Atan & Mak Cun ini, Mak Cun (Eirma Fatima) sibuk membuat persiapan untuk memasarkan produk keluarannya ke Guangzhou, China pula kali ini. Mak Cun sangat teruja dan gigih belajar bahasa Cina dengan Mei Ling. Manisah (Datin Paduka Umie Aida) terkejut apabila mengetahui Mak Cun ingin ke China. Dia memujuk Mak Cun untuk membawanya ke China juga kerana dia pun baru sahaja mengeluarkan produk sendiri.
Seperti biasa, Manisah beriya-iya hendak ke China tetapi tidak mahu belajar bahasa Cina dan tidak membuat persiapan yang sepatutnya untuk ke sana. Mak Cun terkejut apabila melihat adiknya Kuntum (Sherry Alhadad), pulang ke kampung setelah 12 tahun membawa diri ke Arab Saudi kerana kecewa putus cinta. Kuntum mendapat tawaran kerja di Hospital Kuala Lumpur dan sementara itu dia akan tinggal di kampung dan membantu untuk menjaga Atin dan Atan sementara Mak Cun ke China.
Setelah berjaya membantu perniagaan Mak Cun tular dan semakin dikenali ramai, Atin (Syamimi) kini dalam misinya untuk mengajar rakan-rakan yang lemah dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik. Atin mengajar Amat, Ramu, Fatin, Orkid termasuklah kembarnya, Atan (Jay Nazif) di waktu lapang mereka. Atin mahu rakan-rakan sekampungnya menjadi pintar. Atin turut menunjukkan cara bagaimana untuk membuat jadual belajar bagi memudahkan rakan-rakannya belajar mengikut ketetapan dan membuat ulangkaji mengikut waktu.
Atin juga sangat teruja membuat persiapan bagi hari penyampaian hadiah cemerlang di sekolahnya. Atin yakin bahawa dia pasti akan membawa pulang anugerah Pelajar Terbaik sekali lagi tahun ini. Malangnya, di hari penyampaian hadiah itu, bukan nama Atin yang diumumkan sebagai pelajar terbaik, sebaliknya nama Feng Ying yang dipanggil. Atin kecewa kerana dia gagal mempertahankan namanya sebagai pelajar terbaik. Atin kecewa dan dia berazam untuk mengalahkan Feng Yin.
Mereka sekeluarga dikejutkan dengan kepulangan Atul (Nora Danish) dan anaknya Fitri (Zareef) ke kampung. Atin dan Atan tidak menyukai Fitri yang banyak menghabiskan masanya dengan gajet. Atan tidak suka Fitri kerana dia sukar untuk berkomunikasi dengan Fitri yang bercakap menggunakan bahasa inggeris.
Adakah Mak Cun akan berjaya menembusi pasaran di China? Dapatkah Atin mengatasi pencapaian Feng Yin dan bolehkan Fitri menyesuaikan diri hidup di kampung? Saksikan pelbagai ragam Atin, Atan dan Mak Cun setiap Isnin hingga Khamis, 6.30 petang di TV3.