TANPA sebarang bayangan apatah lagi desas desus percintaan, dua selebriti asal Singapura, penyanyi, Awi Rafael dan pelakon, Atikah Suhaime telah mengikat tali pertunangan, semalam.
Berita pertunangan itu nyata mengejutkan ramai pihak apabila Atikah memuat naik satu entri di Instagram yang mengesahkan dia telah menjadi tunangan kepada penyanyi lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu memandangkan kedua artis ini tidak pernah berkongsi apa-apa kisah percintaan mereka di media sosial.
Atikah mengesahkan berita pertunangan itu menerusi perkongsian video di laman sosial Instagramnya, sebentar tadi.
Dalam entri terbabit, ibu Awi dilihat menyarungkan cincin ke jari manis pelakon wanita berkenaan yang anggun dalam persalinan biru.
“Ya… Saya terima lamaran ini dan dengan itu secara rasminya saya bergelar tunang Awi Rafael,” tulis Atikah mengiringi video terbabit.
Lapor BH Online, Awi dan Atikah akan melangsungkan perkahwinannya setahun dari tarikh pernikahan mereka ini iaitu pada 17 Mac tahun depan.
Jelas Awi, tarikh itu dipilih selepas perbincangan kedua-dua pihak pada majlis pertunangan yang diadakan di Royal Palm, Clarke Quay, Singapura, petang semalam.
“Selepas perbincangan di antara kedua-dua keluarga pada majlis pertunangan tadi, insya-Allah pernikahan kami ditetapkan pada tarikh 17 Mac 2019,” katanya kepada akhbar tersebut.
Awi atau nama penuhnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, dia mula mengenali aktres berkenaan sejak tahun 2012 lagi apabila kedua-dua mereka mula bergiat dalam bidang seni, namun dia dan Atikah mula akrab sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, apabila mula serasi dengan pelakon drama Bukan Isteri Sempurna itu, dia mendapatkan nasihat ibunya dan memutuskan untuk meneruskan perhubungan mereka menerusi ikatan pertunangan.
Mengulas mengenai Atikah, Awi berkata dia tertarik dengan pasangannya itu memandangkan wanita itu mempunyai ciri-ciri seorang isteri mithali, selain memeliki kecantikan asli selain menganggap pertunangan mereka ini sebagai pembuka rezeki.
“Bagi saya, Atikah seorang wanita yang terlalu istimewa dan saya yakin dialah jodoh terbaik saya, Insya-Allah.
“Pertunangan ini juga boleh dikatakan sebagai rezeki buat kami. Sejak membuat perancangan untuk bertunang, ada saja tawaran kerja yang datang kepada kami. Doakan yang baik-baik buat saya dan dirinya sehingga ke jinjang pelamin,” ujarnya.
Sementara itu, Atikah menjelaskan bahawa dia bersetuju menerima lamaran Awi setelah jejaka tersebut berjaya menambat hati kedua ibu bapanya.
Ujar Atikah, walaupun dia dan Awi hanya berkenalan dalam tempoh masa yang singkat, dia mengikut naluri hatinya bahawa penyanyi itu merupakan calon suami terbaik untuk dirinya.
“Dalam ramai-ramai lelaki yang pernah berkawan dengan saya sebelum ini, Awi berjaya memikat hati mak dan ayah saya. Ia menjadi faktor utama membuatkan saya yakin dirinya lelaki yang harus saya kahwini.
“Sebenarnya, kami sudah berkawan selama enam tahun dan kadang kala membuat muzik bersama-sama. Namun, kami bersepakat untuk bertunang pada Januari lalu dan keluarga menyetujui rancangan kami,” kata Atikah sambil meminta peminat mendoakan yang baik-baik untuk mereka berdua.
Majlis pertunangan kedua pasangan asal Singapura yang telah menempa nama di Malaysia itu hanya dihadiri keluarga terdekat serta rakan kenalan mereka.
Semalam, di laman sosialnya juga, artis jelita berusia 27 tahun itu mengungkapkan kata-kata dirinya percaya Tuhan akan mempermudahkan segala perancangan, tanpa menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu.
Pada majlis terbabit, Awi kelihatan segak dengan mengenakan sut hitam ketika bergambar bersama tunangnya itu.
Berita pertunangan itu sudah tentu mengejutkan banyak pihak memandangkan kedua-dua artis kelahiran Kota Singa berkenaan tidak pernah digosipkan bercinta, sebelum ini.
Sehingga kini, usaha BH Online untuk mendapatkan ulasan daripada pasangan selebriti itu belum membuahkan hasil.
Awi atau nama penuhnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, ialah seorang penyanyi dan pemuzik yang mula mencipta nama menerusi lagu Aku Jatuh Cinta.
Artis rakaman Warner Music Malaysia itu berkarya sepenuh masa di negara ini.
Manakala Atikah pula sebelum ini pernah dikaitkan dengan kontroversi video ‘panas’ bersama dua artis lelaki.
Ekoran itu, dia memilih untuk bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura, berikutan kerjayanya dikatakan semakin perlahan selepas tersebarnya gosip panas terbabit.