Membuat kemunculan sebagai artis rakaman menerusi single debutnya berjudul ‘Virus’ yang mendapat sambutan positif peminat apabila video lirik rasmi lagu ‘Virus’ sudah mencecah lebih 623,000 tontonan di YouTube manakala di platform penstriman muzik Spotify lagu itu turut dimainkan lebih 133,000 kali sejak dilancarkan pada April lalu. Sebelum mengukir nama dalam industri muzik tempatan, penyanyi rap yang mesra disapa sebagai Asyraf ini pernah mencuri perhatian sebagai peserta dalam musim kedua program ‘16 Baris’ yang dicipta rapper terkenal Joe Flizzow.
Terdahulu, Asyraf berkolaborasi dengan kumpulan MFMF. dan penyampai radio FlyFM Ili Ruzanna dalam lagu ‘Pixel’ yang dilancarkan pada Ogos lalu. Bagi mengukuhkan lagi namanya dalam persada seni tempatan, Asyraf bakal muncul dengan single terbaharu berjudul KELIRU.
KELIRU merupakan ciptaan bersama Asyraf Nasir dan Jann. Menyifatkan lagu ini adalah perspektifnya dalam menerangkan suasana ketidakpastian yang timbul pada tahun ini, Asyraf berkata,
“Hampir tiga dekad, rakyat Malaysia menanti-nantikan tahun 2020 setelah tercetusnya Wawasan 2020. Namun apabila tahun 2020 tiba. Lain yang diharapkan, lain pula yang jadi. Daripada tahun yang sepatutnya membawa kemakmuran, 2020 berubah menjadi tahun yang penuh dengan ketidakstabilan. Selain daripada pandemik COVID-19 yang melanda, ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berlaku serata dunia membuatkan kita semua dalam keadaan huru hara. Semua celaru, semua keliru. Adakah kita akan pulih semula dalam masa lagi 2 bulan? 6 bulan? 2 tahun? Berita palsu di alam maya juga memberi lagi ruang untuk kekeliruan tersebar di kalangan khalayak ramai. Ramai yang tidak pasti dengan nasib mereka ketika ini, sama ada dari segi kesihatan mahupun kerjaya. Ini adalah era kekeliruan sejagat, inilah yang cuba saya sampaikan menerusi lagu ini.”
“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar. Semoga lagu ini dapat membantu menenangkan hati mereka yang sedang gusar dalam menghadapi suasana ketidaktentuan ketika ini. Anda tidak berseorangan, kita semua pun keliru. Semoga mereka mengambil sudut positif daripada lagu ini,” jelas Asyraf lagi.
Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox Apple Music dan video muzik juga akan ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia bermula 21 DISEMBER 2020.