in

ASYIKFM MERIAHKAN JIS PAI DENGAN MALAM GERENTI ASYIK

ASYIKFM MERIAHKAN SAMBUTAN JIS PAI DENGAN MALAM GERENTI ASYIK PADA 31 JANUARI 2009 DI PERAK

Sekali lagi ASYIKfm dengan kerjasama Yayasan Orang Asli Perak, Berhad (YOAP Bhd) menganjurkan Fiesta Sambutan Jis Pai 2009 dalam Bahasa Semai atau Fiesta Sambutan Tahun Baru 2009 diadakan pada 31 Januari 2009, di Padang TNB, Batu 7 Kuala Woh, Tapah, Perak di gugusan perkampungan Orang Asli sepanjang Jalan Pahang, Tapah, Perak.

DJ Rozima

Kali ini Fiesta Jis Pai 2009 yang disambut oleh masyarakat Orang Asli di negeri Perak membawa tema utama Perpaduan Melalui Kebudayaan. Pihak penganjur juga berharap dengan penganjuran Fiesta Jis Pai akan menjadi salah satu produk pelancongan yang dapat menarik ketibaan pelancong sambil menikmati kepelbagaian budaya yang ada di dalam negara.

Perayaan Jis Pai disambut oleh suku kaum Orang Asli di negeri Perak sepanjang bulan Januari sehingga Mac setiap tahun. Perayaan ini lebih memberi gambaran terhadap hidup bermasyarakat suku kaum Orang Asli yang mengutamakan muafakat dan juga bercirikan hidup berkongsi satu budaya. Seperkara yang diutamakan dalam sambutan Jis Pai ialah untuk melahirkan rasa bersyukur atas kurniaan yang diberi oleh Allah disepanjang tahun.
 
Sambutan Jis Pai yang disambut pada awal tahun oleh suku kaum Orang Asli di negeri Perak,  adalah amalan turun temurun. Pada hari tersebut mereka mengadakan rumah terbuka, beramah mesra dan menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah dengan hidangan yang lazat. Selain daripada itu, pada waktu malamnya pula, tetamu akan diraikan dengan majlis tari menari yang memperlihatkan keunikan masyarakat Orang Asli di negeri Perak ketika menyambut perayaan Jis Pai. Amalan dahulunya majlis tari menari diserikan dengan tarian sewang. Tetapi kini telah diambil alih oleh persembahan “live band” atau kugiran di tapak fiesta diadakan.

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali perayaan diadakan menu utamanya ialah hidangan lemang pulut dengan beraneka jenis lauk-pauk dan kuih-muih. Hidangan ini akan dijamu kepada para tetamu yang bertandang ke rumah semasa perayaan Jis Pai.
          
Pelbagai acara atau aktiviti akan diadakan dari pagi sehingga larut malam. Antara acara yang dijalankan ialah Pertandingan Bola Sepak 7 sebelah dan Bola jaring, pameran kraftangan, demonstrasi masakan tradisional dan jualan kraftangan Orang Asli.

Sebelah malam, pada hari yang sama, ASYIKfm turut memeriahkan sambutan unik ini dengan penganjuran Malam Gerenti Asyik dengan barisan artis yang bakal menggamatkan Fiesta Jis Pai 2009. Antara artis yang akan membuat persembahan ialah, Kumpulan Khalifah, Ani Mayuni, Itam Jelmol, Ajek Seneroi, Kumpulan Rimba Bara dan Kumpulan Sejoli (Duet Penyanyi Wanita Orang Asli). Malam Gerenti Asyik akan dimeriahkan lagi dengan pengacara DJ Rozima (ASYIKfm) dan Ali Mamak yang turut akan mendendangkan beberapa lagu popular beliau.

Justeru, kepada anda, jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan Fiesta Jis Pai 2009 ini kerana ianya pasti unik dan mengasyikan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

NANCY SIK, CHIN HAN DALAM FORTUNE COUPLE LONG FENG CHENG

Tragedi Anak Radhi OAG Lemas Di rumah Nenek