in , ,

Astro Umum Senarai 13 Peserta GV9 & Juri Program GEGAR VAGANZA 9

Kilauan Bintang Versatil Menjadi Tunggak Musim Baharu Pertandingan Nyanyian Terhebat Negara, ‘Gegar VAGANZA 9’

Nampaknya Gegar Vaganza musim ke-9 kembali lagi apabila seramai 13 penyanyi hebat sebagai peserta telah pun diumumkan semalam bagi merebut gelaran.

‘Gegar Vaganza’ kini kembali dengan menampilkan barisan artis yang gah, relevan dan pastinya bakal mengubat rindu peminat-peminat industri muzik tempatan. Rancangan ‘Gegar Vaganza’ amat dikenali dengan membawa semula artis-artis evergreen serta bintang-bintang yang pernah berkilauan dengan terangnya. Namun edisi ‘GV’ ke-9 kali ini turut membawa perubahan baharu dengan menampilkan nama-nama besar yang utuh dalam bidang nyanyian negara kita. 

SIDANG MEDIA GEGAR VAGANZA 9

Nama-nama yang menjadi ikutan kini antara wajah-wajah yang bakal merebut gelaran berprestij ini. Ada di antara mereka dikenali dengan kekuatan vokal yang luar biasa serta stage presence yang menakjubkan. Bukan itu sahaja, ‘GV9’ turut ingin membawa kesinambungan kerjaya-kerjaya artis- artis terdahulu untuk bersinar sekali lagi. 

Peserta-peserta ‘GV9’ terdiri daripada Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida Hasnan, Pat Candy, Tom serta VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim. 

12 penyanyi solo dan sebuah kumpulan akan memulakan cabaran sengit yang pastinya akan menggegarkan malam Ahad para penonton Astro. Barisan yang hebat ini bakal bergema dan meriuhkan semula pertandingan realiti nyanyian negara kita. 

Untuk rekod, pertandingan ‘GV’ telah menobatkan Sembilan juara sepanjang penganjuran untuk lapan musim sebelum ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7) dan Aliff Aziz (GV8). 

Musim ini juga menyaksikan kelainan apabila ramai penyanyi popular dan masih aktif yang akan bertanding sekaligus menimbulkan tanda tanya penonton mengenai konsep program tersebut.

“Siapa yang tidak mengenali rancangan ‘Gegar Vaganza’? Setelah bersiaran selama lapan musim, momentum rancangan nyanyian ini kian memuncak dan popularitinya semakin mendadak menaik. 

Dengan rasa berbangga, pihak Astro membawakan ‘Gegar Vaganza’ musim kesembilan, dengan barisan penyanyi yang amat menakjubkan serta berbakat besar. Malah kami turut merasakan rendah diri kerana barisan yang ada merupakan antara nama-nama terbesar dalam pesada muzik tempatan kali ini. 

Kombinasi kali ini turut menerapkan elemen diversiti ataupun kepelbagaian dalam representasi genre muzik negara kita. Pop, Rock serta R&B antara genre penyanyi yang ada. Ada jua sesetengah mereka begitu versatil dan mampu menyanyi dalam pelbagai genre serta bahasa. 

Kami turut mempunyai penyanyi-penyanyi hebat di negara kita yang sudah merangkul pelbagai anugerah. Ternyata ‘GV9’ mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar yang bersinar hebat, lantas menujukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi artis- artis yang ada. ‘GV’ masih jua menjadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula dalam bidang nyanyian. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Astro kepada penaja utama kami, Farm Fresh yang sudi menaja musim terbaharu ini. Sesungguhnya, saya berharap agar kolaborasi ini berkekalan dengan jayanya. 

Akhir sekali, ucapan terima kasih ingin saya lafazkan kepada semua pihak produksi, barisan artis, pengurusan serta tenaga kerja yang bakal menjayakan rancangan realiti terbesar di Malaysia ini yang akan bersiaran langsung bermula pada 18 September kelak. 

Pihak Astro tidak akan henti daripada membawa program-program Signature yang terbaik and unik di negara kita. Kami sentiasa mencabar diri untuk membawa kepuasan hiburan maksimum untuk semua. Mari kita riuhkan gelanggan arena muzik Astro dengan ‘Gegar Vaganza 9’!” NAIB PRESIDEN STRATEGI PEMBANGUNAN KANDUNGAN HIBURAN MELAYU ASTRO, RAQIM AHMAD 

SIDANG MEDIA GEGAR VAGANZA 9

Naib presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menjelaskan ianya sebagai langkah baru daripada konsep asal program berkenaan.

Menurutnya lagi, penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan program realiti itu terus menjadi rancangan terbaik.

“Banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan apatah lagi GV sudah memasuki musim kesembilan jadi kita tidak boleh terlalu statik dengan format sebelum ini.

“Penambahbaikan perlu dilakukan supaya program ini dapat kekal sebagai rancangan hiburan nombor satu di Malaysia,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga mengambil maklum balas penonton selepas penyertaan Allahyarham Adibah Noor yang ketika itu masih aktif.

“Kemunculan arwah dalam GV mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penonton. Jadi tahun ini kami membawa masuk bintang masih aktif,” katanya.

TRIVIA GV9 

Barisan juri masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang. Mereka turut akan ditemani juri-juri profesional undangan setiap minggu. 

‘GV9’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. 

Musim baharu ini turut membawa semula Nabil Ahmad sebagai hos dan dia akan ditemankan oleh pelakon serta alumni ‘Gegar Vaganza 3’, Elly Mazlein. Pastinya pentas menjadi gamat dengan kombinasi kedua-dua hos yang kelakar ini. 

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000. 

Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur. 

Selain itu, penganjuran ‘GV9’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini. 

Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan ‘GV9’ secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu. 

INFO SIARAN GV9 

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza S9’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 malam mulai 12 September 2022. Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S9’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 6.00 petang mulai 23 September 2022. 

Saksikan juga Vazz Vaganza yang dihoskan oleh Keanu Azman. Rancangan yang bersiaran selama 30 minit sejurus sahaja konsert utama ini akan menampilkan segmen-segmen yang melibatkan pihak juri berdiskusi mengenai komen-komen pedas mereka, wawancara bersama para peserta yang menduduki tempat pertama mahupun yang tersingkir serta sesi soal dan jawab bersama media. 

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV9’. 

Bagi memberi pilihan yang lebih fleksibel, siaran konsert penuh minggu pertama ‘GV9’ juga boleh distrim melalui aplikasi sooka secara percuma menggunakan peranti mudah alih atau TV pintar terpilih. Untuk melanggan pelan VIP Entertainment atau VIP TV bagi menikmati keseluruhan musim ini sepanjang 10 minggu, muat turun aplikasi sooka di Apple AppStore dan Google PlayStore atau layari www.sooka.my. 

‘Gegar Vaganza’ musim ke-9 akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 18 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 Astro hanya RM99.99 sebulan untuk enam bulan pertama secara online di astro.com.my untuk menikmati rancangan realiti ini di Astro. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SAMSUNG

Samsung Malaysia Electronics Menguasai Lembah Klang Dengan Cara Yang Unik!

Penampilan Istimewa Dato’ Sri Siti Nurhaliza Meriahkan Festival PURWA PUITIKA