Astro Umum 24 Peserta Terbaik MasterChef Malaysia musim kedua
Perkenal tema ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia
MasterChef Malaysia ternyata telah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Bertitik tolak daripada kejayaan dan sambutan musim lalu, Astro berbesar hati membawakan kembali MasterChef Malaysia untuk musim kedua. Sesi ujibakat telahpun bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) sejak 8 September lalu. Persoalannya, siapakah 24 peserta terbaik yang layak ke pusingan seterusnya sekaligus berpeluang merebut gelaran Juara MasterChef Malaysia musim kedua? Segalanya akan dapat disaksikan setiap Sabtu hingga Khamis jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Seramai 24 orang peserta yang akan meneruskan perjuangan MasterChef Malaysia musim kedua ini rata-rata mempunyai kualiti yang baik dan berpotensi untuk pergi jauh. Mereka hadir daripada pelbagai latarbelakang seperti doktor, arkitek, penasihat kecantikan dan peninju tomoi. Sewaktu di Boot Camp, kesemua peserta terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran sebelum berjaya meneruskan perjalanan mereka dalam MasterChef Malaysia musim kedua ini. Pada penghujung rancangan ini, hanya seorang akan dinobatkan sebagai juara.
Sementara itu, gabungan tiga juri daripada MasterChef Selebriti yang lalu dikekalkan untuk MasterChef Malaysia musim kedua. Mereka adalah Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran. Tiga orang chef yang berpengalaman dalam penyedian makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa ini bakal menilai masakan para peserta sepanjang musim ini.
Bertemakan ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia, MasterChef Malaysia musim kedua bakal memfokuskan kepada penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, program realiti masakan ini masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan.
Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Raqim Ahmad berkata, “MasterChef Malaysia merupakan inisiatif Astro untuk mempromosikan masakan tempatan seterusnya memartabatkan Malaysia di mercu dunia. Bertepatan dengan tema yang dipilih, MasterChef Malaysia musim kedua bukan sehaja mengangkat seni kulinari Malaysia, tetapi turut meliputi bahan dan peralatan yang digunakan untuk persediaannya. Kami juga turut menerapkan elemen Malaysia pada set studio yang digunakan untuk membangkitkan semangat para peserta menyediakan hidangan yang terbaik.
Kami di Astro Ria secara jujurnya berasa amat teruja dan tidak sabar untuk melihat kesungguhan, kreativiti dan daya saing para peserta musim kedua ini untuk beraksi di dapur MasterChef Malaysia. Melihat daripada aksi mereka ketika sesi ujibakat dan boot camp, saya amat yakin dan percaya bahawa akan berlaku persaingan yang sangat sengit di antara mereka berdasarkan kemahiran dan kelebihan yang ada pada setiap peserta ini.”
Kini, para penonton boleh menyaksikan pelbagai ujian dan rintangan yang dilalui kesemua peserta ini. Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Undangan (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Ujian Rasa dan Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Khamis). Kesemua program ini akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) tepat jam 9.00 malam.
“Pihak Astro juga berbesar hati ingin mengumumkan bahawa Juara MasterChef Malaysia musim kedua bakal memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai program yang akan diaturkan pihak Astro kelak. Sementara itu, kami juga mengalu-alukan kehadiran pihak Panasonic Cooking Magic sebagai penaja utama dan MyChef sebagai penaja bersama,” tambah Raqim lagi.
Jangan lupa menyaksikan MasterChef Malaysia untuk musim kedua dan perjalanan 24 peserta ini pada setiap hari Sabtu hingga Khamis, jam 9.00 malam hanya di Astro Ria (Saluran 104).
Para peserta bergambar bersama para juri, Pengurus Saluran, Penerbit Eksekutif dan pihak penaja
Juri MasterChef Malaysia musim kedua
Encik Raqim Ahmad, Pengurus Saluran Astro Ria