Setelah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada program hiburan infotainment popular ‘MeleTOP’ yang dikendalikan bersama Nabil Ahmad selama lebih tujuh tahun pada Disember lalu, kini selebriti versatil Neelofa kembali dalam bidang pengacaraan menerusi sebuah program bual bicara yang membawakan namanya sendiri iaitu ‘Next To Neelofa’.
Bakal menampilkan tetamu undangan VIP yang terdiri daripada personaliti ternama tanah air dan figura berpengaruh dalam bidang masing-masing, sesi temubual eksklusif yang lebih bersifat up close & personalmenerusi program ‘Next To Neelofa’ ini akan mengetengahkan pelbagai perkongsian peribadi yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini merangkumi topik penjagaan diri, kesihatan, kecantikan, kekeluargaan, cinta, fesyen, kerjaya, empayar perniagaan, motivasi, inspirasi dan sebagainya.
Rakaman program istimewa yang berdurasi selama 60 minit sepanjang 12 buah episod ini juga akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam mulai 23 Julai 2020 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program bual bicara ini turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GOdan on demand.
“Seperti yang kita tahu, nama Neelofa yang sebelum ini cukup sinonim dengan jenama ‘MeleTOP’ merupakan antara selebriti versatil tanah air yang paling berjaya dan berpengaruh, bukan sahaja dalam bidang perniagaan tetapi juga dalam bidang fesyen yang telah menarik perhatian pelbagai jenama terkemuka di peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, kami amat berbesar hati dan gembira dengan kesudian dan komitmen yang diberikan oleh Neelofa dalam menjayakan program eksklusif ‘Next To Neelofa’ yang buat julung kali diterbitkan di platform Astro Ria ini. Pengalaman Neelofa sebagai anak seni dan latar belakang kehidupan beliau yang penuh warna warni pastinya akan menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini.
Selain popularitinya yang mampu menarik tontonan pelbagai lapisan masyarakat, program ini turut menjadi platform untuk mendekatkan lagi golongan VIP berpengaruh tanah air yang sering menjadi ikutan dan rujukan masyarakat di luar sana.
Secara keseluruhannya, kami positif dan yakin dengan kemampuan Neelofa dalam mengendalikan program bual bicara ini yang diharap dapat meletakkan penanda aras yang tinggi dalam dunia hiburan serta dapat memberikan inspirasi kepada para penonton.”
– Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria
Trivia Program ‘Next To Neelofa’
- Program ‘Next To Neelofa’ bakal memperlihatkan kebijaksaan dan kepetahan Neelofa selaku pengacara yang akan mengendalikan program ini secara solo buat pertama kali.
- Rakaman program yang dibuat secara ‘live-to-tape’ ini padat dengan pengisian eksklusif yang tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat umum secara terbuka sebelum ini. Menarik lagi, rakaman program juga akan dimulai dengan bacaan doa oleh Neelofa sendiri.
- Mengikut perancangan asal, musim pertama program ‘Next To Neelofa’ ini sepatutnya akan bersiaran selama lapan buah episod. Namun, pihak Astro membuat keputusan untuk menyambung empat lagi episod tambahan bagi melengkapkan musim ini. Untuk makluman, program ini juga masih lagi dalam fasa penggambaran dan sebanyak enam buah episod sudahpun dirakamkan setakat ini.
- Penerbitan program ‘Next To Neelofa’ ini berjaya merealisasikan hasrat Neelofa untuk mengendalikan program seumpama ini yang mana idea asal tersebut sebenarnya sudahpun tercetus sejak lima tahun lalu. Neelofa juga pernah berkongsi tentang hasrat tersebut bersama rakan-rakan baiknya secara peribadi sebelum ini.
- Antara barisan VIP yang telah diundang khas untuk menjayakan penerbitan musim pertama termasuklah Datuk Hans Isaac, Datuk Rizalman Ibrahim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Chryseis Tan dan Ella Aminuddin.
- Sewaktu rakaman episod yang menampilkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza selaku tetamu undangan, ketibaan Neelofa telah disambut sendiri oleh si pipi merah, Aafiyah yang turut menegur penampilan Neelofa seperti seorang puteri (“Aunty Lofa macam princess”) sewaktu pertama kali berjumpa. Rakaman video detik spontan ini juga pernah dikongsikan menerusi laman sosial media sebelum ini.
- Manakala sewaktu rakaman episod yang menampilkan Chryseis Tan selaku tetamu undangan pula, beliau telah mendedahkan nama pilihan yang bakal diberikan kepada bayi perempuan yang sedang dikandungkannya secara eksklusif kepada Neelofa. Ini merupakan kali pertama Chryseis berkongsi tentang nama tersebut dengan orang lain selain suaminya, SM Faliq Nasimuddin.
- Neelofa cukup bersemangat dan teruja dalam menjayakan penggambaran program ini sehingga turut melantik ‘glam squad’ beliau sendiri yang bertanggungjawab menyediakan busana indah daripada pereka fesyen tersohor kegemarannya untuk digayakan sepanjang musim ini.
- Musim pertama program ‘Next To Neelofa’ juga turut mendapat sokongan daripada jenama kopi terkenal, Starbucks selaku Penaja Utama.