Astro Malaysia Holdings Berhad (‘Astro’) dan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (‘Les’ Copaque’) hari ini mengumumkan kolaborasi strategik dalam segmen perkongsian kandungan, pengedaran dan pemasaran produk animasi terbitan Les’ Copaque. Usahasama ini bakal memperkasakan lagi industri animasi di pasaran tempatan mahupun antarabangsa dengan penerokaan menyeluruh yang meliputi kepakaran serta aset kedua-dua syarikat.
(Dari kiri) Hajah Ainon – Ketua Pengarah Kandungan Les’ Copaque, Haji Burhanuddin bin Md Radzi – Pengarah Urusan Les’ Copaque, Datuk Yasmin Mahmood – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Putri Yasmin Megat Zaharuddin – Naib Presiden Bahagian GenNext Astro
Empat produk animasi terbitan Les’ Copaque iaitu ‘Upin & Ipin’, ‘Upin & Ipin Iqra’, ‘Puteri’ dan ‘Pada Zaman Dahulu’ boleh dinikmati oleh pelanggan Astro dan NJOI di televisyen dan platform over-the-top atau OTT termasuklah menerusi aktiviti lapangan.
Selain dari itu, kolaborasi ini turut melibatkan penjualan barangan eksklusif di Go Shop dan penganjuran pelbagai aktiviti menarik buat peminat setia di bawah Astro Circle.
Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Cik Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata,
“Sejak kehadiran Astro dalam industri penyiaran lebih dua dekad yang lalu, kami sentiasa komited dan konsisten dalam membawakan pelbagai kandungan kekeluargaan dan ilmiah yang mampu menggalakkan proses pembelajaran kreatif buat golongan kanak-kanak dan remaja.
Seperti kita semua sedia maklum, animasi ‘Upin & Ipin’ berpaksikan elemen pendidikan sebagai latar utama dalam setiap jalan penceritaannya, selari dengan matlamat Astro untuk mengungguli penggunaan pendekatan alternatif dari aspek akademik. Justeru itu, usahasama yang dibina bersama pemegang harta intelek ‘Upin & Ipin’ ini sudah pasti akan memperluaskan lagi tawaran kandungan sedia ada khususnya bagi segmen pendidikan buat para pelanggan kami bukan sahaja di Malaysia, malahan di negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan juga Brunei.
Deretan kejayaan yang berjaya dirangkul dari dalam dan luar negara telah membuktikan penerimaan baik animasi ‘Upin & Ipin’ dalam pasaran Asia sekaligus meletakkan Les’ Copaque di liganya tersendiri dalam industri animasi. Saya percaya dengan gabungan kepakaran dan perkongsian aset media di antara kedua-dua syarikat, ianya bakal memberi impak yang besar dalam industri animasi di Malaysia mahupun di luar negara, di samping mengoptimumkan pulangan ke atas pelaburan yang dilaksanakan dalam penghasilan sesebuah karya baharu.”
Membuka tirai kerjasama Astro – Les’ Copaque merupakan penganjuran ‘Karnival Upin & Ipin 2018’ yang akan diadakan pada 20 hingga 23 Disember 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Sempena cuti persekolahan pada November 2018 ini, siri ‘Upin & Ipin’, ‘Upin & Ipin Iqra’; siri yang memperkenalkan pembelajaran Iqra’, ‘Puteri’ dan ‘Pada Zaman Dahulu’ dijadualkan menemui peminat di saluran Astro Ceria dan Astro Prima.
Manakala pada Mac 2019 pula, filem ‘Upin & Ipin – Keris Siamang Tunggal’ dijangka akan ke pawagam. Pelbagai lagi perancangan jangka masa pendek dan panjang akan diumumkan kelak.
Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Tuan Haji Burhanuddin Md. Radzi, berkata,
“Kerjasama antara dua syarikat gergasi ini telah mengubah model perniagaan industri kreatif dimana pihak penerbit akan bekerjasama dengan pihak penyiar untuk menentukan hala tuju dan strategi perniagaan dari segi isi kandungan, pemasaran, sasar pasaran, dan pembangunan pasaran baru. Kejayaan animasi ‘Upin & Ipin’ bukan sahaja membantu dalam peningkatan industri animasi tempatan, malah membuka jalan baru dalam kerjasama dari segi perniagaan yang mampu menjana ekonomi negara melalui kepakaran dalam bidang masing-masing.”
Astro merupakan pembekal utama kandungan berbentuk hiburan dan kekeluargaan yang turut merangkumi segmen pendidikan, di mana pemasaran kandungannya melangkaui skrin televisyen dengan kehadiran platform digital yang membantu dalam memperluaskan capaian penonton ke negara-negara serantau.
Kandungan karya animasi terbitan Les’ Copaque mempunyai tarikan global dengan penerapan nilai sejagat, ditambah pula dengan pilihan Bahasa Inggeris yang menjadikannya lebih mudah diterima oleh penonton dari pelbagai negara dan latar belakang.
‘Upin & Ipin’ hadir di ruangan animasi tanah air pada tahun 2007 dan ia merupakan siri animasi versi 3D yang pertama di Malaysia.
Kini, ‘Upin & Ipin’ turut menjuarai segmen digital apabila meletakkan tanda aras tinggi sebagai saluran nombor satu di siaran YouTube Malaysia dengan memiliki 3.3 juta pengikut dan lebih dari 2 bilion jumlah tontonan.
Kehadiran ‘Upin & Ipin’ turut mendapat pengiktirafan di serata dunia. Karakter pasangan kembar ini mencipta sejarah apabila menjadi watak animasi pertama diangkat sebagai ‘Duta Pelanconganan Malaysia Yang Ke-12’ sebaris dengan ikon-ikon hebat tanah air oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Di Indonesia, ‘Upin & Ipin’ mencipta fenomena apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi kategori ‘Kartun Yang Paling Diminati’ dan ‘Watak Kartun Yang Paling Diminati’ selama empat tahun berturut-turut di ‘Anugerah Ibu & Anak’ bersempena sambutan Hari Ibu di republik tersebut. Pada Mac 2018, Upin & Ipin mengungguli kategori “Professional Fiction Under 7” di Southeast Asia Prix Jeunesse Awards, majlis anugerah peringkat global yang meraikan kecemerlangan kandungan segmen kanak-kanak.